Semakin ramai wanita di Kelantan, khususnya golongan janda dan wanita yang lewat berkahwin, didakwa memilih lelaki warga asing sebagai pasangan hidup bagi mengelakkan stigma masyarakat terhadap status belum berkahwin.
Menurut laporan Harian Metro, kebanyakan wanita terbabit yang stabil dari segi kewangan menawarkan pelbagai kemudahan kepada bakal suami termasuk elaun bulanan, tempat tinggal, kenderaan dan peluang perniagaan.
Malah, ada perkahwinan yang didakwa dibuat berdasarkan persetujuan tidak rasmi untuk tempoh tertentu sehingga lima tahun, yang dikenali sebagai perkahwinan kontrak.
Data Jabatan Imigresen yang dipetik menunjukkan sebanyak 17,137 permohonan Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang dibuat oleh penduduk Kelantan untuk pasangan warga asing pada 2022, berbanding 17,036 permohonan bagi tahun 2023.
Daripada jumlah itu, kira-kira 12,000 permohonan setiap tahun melibatkan wanita yang memohon pas untuk suami warga asing.
Laporan itu turut menyatakan majoriti pasangan warga asing di Kelantan terdiri daripada warga Thailand, diikuti Bangladesh dan Myanmar.
Menurut sumber Imigresen, amalan perkahwinan kontrak bukanlah sesuatu yang baharu apabila terdapat lelaki warga asing yang berkahwin dengan wanita tempatan bagi mendapatkan tempat tinggal, pekerjaan dan elaun bulanan.
Katanya, kebanyakan perjanjian itu berlangsung melebihi tiga tahun, dengan wanita terbabit bersetuju memberikan bayaran bulanan kepada suami yang kemudiannya membantu menguruskan perniagaan atau pekerjaan mereka.
Sumber itu berkata, hasil temu bual mendapati ramai wanita membuat keputusan tersebut kerana berasa sunyi selain mahu mengelakkan stigma masyarakat terhadap wanita yang masih belum berkahwin.
Tambahnya, ada juga yang berpandangan lelaki tempatan lebih cenderung memilih wanita lebih muda, manakala lelaki warga asing lebih terbuka untuk berkahwin dengan wanita yang mempunyai kedudukan kewangan stabil.
Seorang balu berusia 65 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Ani berkata, dia berkahwin dengan lelaki Myanmar berusia 38 tahun pada 2020 selepas kematian suaminya pada 2018.
Menurutnya, keputusan itu dibuat kerana memerlukan seseorang untuk membantu menguruskan perniagaan makanan sejuk beku miliknya dan anak-anak turut merestui perkahwinan tersebut.
Sementara itu, seorang wanita yang dikenali sebagai Sheila berkata, dia memilih berkahwin dengan lelaki Indonesia kerana bosan dengan gelaran "anak dara tua" yang sering dilemparkan oleh masyarakat.
Dalam pada itu, seorang lelaki warga Pakistan dikenali sebagai Jahangir berkata, dia berkahwin dengan wanita Kelantan yang juga seorang balu selepas berkenalan melalui Facebook pada 2012.
Katanya, mereka kini hidup bahagia, mengusahakan kedai runcit bersama dan mempunyai seorang anak hasil perkahwinan tersebut.
Isterinya pula berkata, hubungan mereka dibina atas dasar kasih sayang dan mengakui mengenali beberapa pasangan lain yang turut melalui perkahwinan kontrak, dengan ada yang kekal bahagia manakala sebahagiannya berpisah sebelum tempoh dipersetujui berakhir.
Sumber: Harian Metro
SHARE:
