Tekad Ubah Nasib Keluarga, Lovely Sabana Raih PNGK 4.0 STPM

Tekad untuk mengubah nasib keluarga menjadi pendorong utama kepada seorang pelajar berketurunan Siam dari Tumpat apabila berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025.

Lovely Sabana Augustine, 20, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cabang Empat mencatat Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.0 dan kini menyimpan harapan besar untuk melanjutkan pengajian ke peringkat universiti.

Menurutnya, dia sudah memohon kemasukan ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan telah menduduki ujian kemasukan pada 11 Jun lalu bagi merealisasikan impiannya menjadi seorang guru.

"Saya mohon ke UPSI dan sudah menduduki ujian pada 11 Jun lalu. Harapnya cita-cita saya untuk bergelar pendidik tercapai.

"Selain demi masa depan, apa yang saya usahakan selama ini adalah untuk ibu tercinta yang membesarkan dan menyekolahkan saya serta tiga abang selepas kematian ayah sembilan tahun lalu akibat serangan strok," katanya.

Semangat Dari Pengorbanan Ibu

Lovely Sabana berkata, ibunya kini bekerja sebagai penjaga tandas di sekolah berkenaan dengan bayaran yang disediakan oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Katanya, pengorbanan ibunya yang berhempas pulas membesarkan empat orang anak selepas kehilangan suami menjadi sumber kekuatan untuk terus belajar bersungguh-sungguh.

lovely sabana stpm smk chabang empat


"Ibu hanya bekerja sebagai penjaga tandas di sekolah ini. Disebabkan penat lelahnya menjaga kami empat beradik, ia memberi semangat untuk saya belajar bersungguh-sungguh," katanya.

Beliau berkata, selepas menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dua tahun lalu, dia tidak menerima sebarang tawaran ke institusi pengajian tinggi walaupun memperoleh empat A.

Situasi itu mendorongnya memilih Tingkatan Enam kerana melihat laluan tersebut memberi peluang lebih luas untuk melanjutkan pelajaran ke universiti.

Bangun Seawal 3 Pagi Ulang Kaji

Berkongsi rahsia kejayaannya, Lovely Sabana mengakui tiada teknik istimewa diamalkan selain disiplin yang tinggi dalam pelajaran.

Menurutnya, setiap tugasan yang diberikan guru akan disiapkan segera tanpa bertangguh.

lovely sabana stpm smk cabang empat tumpat


"Tiada tips khusus dalam pembelajaran kecuali meletakkan disiplin tinggi, contohnya menyiapkan segera setiap tugasan atau kerja sekolah yang diberikan guru.

"Selain itu saya suka bangun jam 3 atau 4 pagi untuk mengulang kaji pelajaran kerana suasananya lebih tenang dan ilmu yang dipelajari lebih mudah difahami," katanya.

Buat masa ini, beliau bekerja sambilan sebagai juruwang di sebuah pasar raya di daerah itu sementara menunggu keputusan permohonan ke universiti.

Katanya, pekerjaan tersebut dilakukan sebagai persediaan kewangan sekiranya menerima tawaran melanjutkan pengajian pada Ogos nanti.

"Meskipun tiga abang sudah bekerja, mereka juga mempunyai tanggungan masing-masing dan pendapatan yang sederhana.

"Dua abang bekerja di restoran di Johor manakala seorang lagi bekerja di kampung. Jadi saya juga bekerja sambilan untuk persediaan ke IPT nanti," katanya.

Dalam pada itu, seramai 11 pelajar SMK Cabang Empat berjaya memperoleh PNGK 4.0 dalam STPM 2025 dan menerima hadiah serta cenderamata daripada Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Perancangan dan Pengurusan Pejabat Pendidikan Daerah Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, Azhan Anuar.

Kejayaan Lovely Sabana menjadi bukti bahawa latar belakang keluarga bukan penghalang untuk mencapai kecemerlangan apabila disertai usaha, disiplin dan semangat yang tinggi untuk mengubah kehidupan.

Sumber: Berita Harian

SHARE:

TERKINI

Bomba Dedah Punca Kebakaran 27 Rumah Di Gok Kapur
|
Kebakaran yang memusnahkan 27 rumah di Kampung Gok Kapur…
Kerajaan Kelantan Tidak Iktiraf Pelantikan Ketua Rohingya Di Setiap Daerah
|
Kerajaan Kelantan menegaskan bahawa pihaknya tidak mengiktiraf pelantikan ketua…
Seakan Pertubuhan Rasmi, Pelarian Rohingya Lantik Ketua Setiap Daerah Di Kelantan
|
Tular di media sosial mengenai kewujudan sebuah laman yang…
Bekal Air Ketum Kepada Nelayan, Dua Lelaki Ditahan Di Tok Bali
|
Kegiatan membekalkan air ketum kepada nelayan dan awak-awak kapal…
Warga Emas Ditahan Bawa 800kg Beras Seludup Dari Thailand Di Tanah Merah
|
Cubaan seorang lelaki warga emas untuk meloloskan diri daripada…
Ronaldo Pemain Pertama Jaring Gol Dalam Enam Piala Dunia
|
Cristiano Ronaldo terus mengukuhkan statusnya sebagai antara pemain terhebat…
Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!