Tanah Diusahakan 20 Tahun Disita, Peneroka Gua Musang Tuntut Siasatan

Peneroka di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) KESEDAR Chalil, Gua Musang yang terkesan dengan isu penyitaan tanah telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM).

Tindakan itu diambil selepas penduduk mendakwa mereka teraniaya apabila tanah yang diusahakan hampir 20 tahun serta ada yang mempunyai geran, disita dan didakwa termasuk dalam kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK).

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Mukim Chalil, Hasan Saleh berkata, laporan kepada SPRM Kelantan dibuat pada Ahad lalu selepas penduduk kecewa dengan situasi berkenaan.

Menurutnya, aduan itu membabitkan Projek Pemulihan Kawasan Teroka Haram Mukim Relai, Chiku, yang diberikan kepada sebuah syarikat pada 21 Mei 2024.

“Aduan dibuat kerana bimbang berlaku salah guna kuasa, penyelewengan dan unsur rasuah membabitkan pemberian kontrak projek pemulihan hutan oleh Jabatan Perhutanan Kelantan,” katanya.

Beliau mendakwa, perluasan kawasan HSK terbabit melibatkan beberapa kompartmen termasuk tanah milik sah penduduk yang diambil tanpa notis atau pampasan.

Katanya lagi, tiada sebarang perbincangan dilakukan antara pihak berkaitan dengan penduduk sebelum pelaksanaan projek tersebut.

Media sebelum ini melaporkan lebih 100 peneroka RKT KESEDAR Chalil kecewa apabila tanah yang diusahakan hampir dua dekad lalu disita kerana didakwa termasuk dalam kawasan HSK.

Hasan turut mempersoalkan sama ada pelaksanaan projek berkenaan mengikut undang-undang serta prosedur ditetapkan, termasuk dakwaan syarikat terbabit mengambil hasil tanaman penduduk.

“Sejak kontrak diberikan pada 2024, tiada kerja pemulihan atau penanaman semula dilakukan, sebaliknya hasil kebun penduduk diambil,” katanya.

Beliau berkata, penduduk turut mengesyaki wujud unsur rasuah membabitkan pihak tertentu dan menuntut siasatan menyeluruh dilakukan SPRM.


Selain SPRM, pihaknya turut menghantar aduan kepada SUHAKAM pada 17 Jun lalu bagi memohon siasatan berhubung isu pertindihan kelulusan tanah yang didakwa menjejaskan hak penduduk.

Sumber: Berita Harian

SHARE:

TERKINI

Tiga Lelaki Ditahan, Pondok Proses Air Ketum Diserbu PGA Di Tumpat
|
Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menumpaskan satu kegiatan pemprosesan…
Curi RM50 Tabung Masjid Di Wakaf Bharu, Penganggur Dipenjara Lima Bulan
|
Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara lima bulan oleh Mahkamah…
Selepas Empat Tahun Berehat, Rahim Maarof Berkeras Mahu Buat Persembahan Di Kota Bharu
|
Empat tahun berehat daripada dunia nyanyian bukanlah tempoh yang…
Penarik Kereta Direman Selepas Disyaki Edar Pil Kuda Bernilai RM61,000 Di Tumpat
|
Seorang duda yang mempunyai dua anak direman selama tujuh…
KRW FC Tangguh Pengambilan Pemain Baharu, Tunggu Isu Teknikal Selesai
|
Ketua Jurulatih Kelantan Red Warriors (KRW) FC, Irfan Bakti…
46 Projek Bernilai RM207.2 Juta Diluluskan Untuk Pasir Puteh
|
Pasir Puteh bakal menerima suntikan pembangunan apabila kerajaan meluluskan…
Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!