Peniaga Ayam Tipu Timbangan, KPDN Kelantan Terima 29 Aduan

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan mengesan trend baharu melibatkan peniaga ayam yang dipercayai menggunakan pelbagai helah bagi mengenakan caj lebih tinggi kepada pelanggan.

Menurut Pengarah KPDN Kelantan, Hanif Yusabra Yusuf, antara modus operandi yang sering dikesan ialah meletakkan penimbang di lokasi yang jauh atau terlindung daripada pandangan pelanggan ketika proses menimbang ayam dilakukan.

Beliau berkata, kebanyakan aduan yang diterima sejak dua hingga tiga bulan kebelakangan ini mempunyai corak yang hampir sama.

“Aduan yang diterima mendakwa harga yang dibayar tidak sama dengan harga yang dipamerkan atau diiklankan oleh peniaga ayam.

“Mereka juga mendakwa dicaj berdasarkan berat yang lebih tinggi berbanding berat sebenar ayam yang dibeli,” katanya pada sidang akhbar sempena tinjauan Ops Tiris 4.0 di sempadan Pengkalan Kubor pada Ahad.

29 Aduan Diterima, 60 Kes Diambil Tindakan

Menurut Hanif, sebanyak 29 aduan berkaitan peniaga ayam telah diterima dan sedang disiasat oleh KPDN Kelantan setakat ini.

Hasil pemantauan dan penguatkuasaan yang dijalankan pula merekodkan 60 kes tindakan undang-undang terhadap peniaga ayam di negeri itu.

Daripada jumlah tersebut, 49 kes melibatkan kesalahan di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972 kerana menggunakan alat timbang yang tidak ditentusahkan atau telah tamat tempoh.

Selain itu, tujuh kes melibatkan kegagalan mempamerkan tanda harga mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011, manakala empat kes lagi membabitkan kesalahan harga mengelirukan di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999.

Pengguna Diminta Pantau Proses Timbangan

Sehubungan itu, KPDN menasihatkan orang ramai supaya lebih peka ketika membeli ayam dengan memastikan proses timbangan dilakukan di hadapan mereka.

“Saya ingin mengingatkan orang ramai supaya melihat sendiri proses timbangan.

“Sebagai pengguna yang bijak, mereka perlu memastikan timbangan dilakukan di hadapan dan bukannya di belakang atau di luar penglihatan pembeli,” katanya.

Dalam perkembangan sama, KPDN Kelantan turut memperhebat pemantauan menerusi Ops Kesan 6.0 yang berlangsung dari 1 Jun hingga 31 Ogos bagi memastikan tiada unsur manipulasi harga dalam rantaian bekalan barangan.

Menurut Hanif, sebanyak 25 premis perniagaan telah diperiksa dengan 25 Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) dikeluarkan melibatkan 85 unit penyimpanan stok (SKU).

Beliau menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan menaikkan harga secara tidak munasabah atau melanggar undang-undang yang berkuat kuasa.

Sumber: Sinar Harian

SHARE:

TERKINI

Tiga Lelaki Ditahan, Pondok Proses Air Ketum Diserbu PGA Di Tumpat
|
Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menumpaskan satu kegiatan pemprosesan…
Curi RM50 Tabung Masjid Di Wakaf Bharu, Penganggur Dipenjara Lima Bulan
|
Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara lima bulan oleh Mahkamah…
Selepas Empat Tahun Berehat, Rahim Maarof Berkeras Mahu Buat Persembahan Di Kota Bharu
|
Empat tahun berehat daripada dunia nyanyian bukanlah tempoh yang…
Penarik Kereta Direman Selepas Disyaki Edar Pil Kuda Bernilai RM61,000 Di Tumpat
|
Seorang duda yang mempunyai dua anak direman selama tujuh…
KRW FC Tangguh Pengambilan Pemain Baharu, Tunggu Isu Teknikal Selesai
|
Ketua Jurulatih Kelantan Red Warriors (KRW) FC, Irfan Bakti…
46 Projek Bernilai RM207.2 Juta Diluluskan Untuk Pasir Puteh
|
Pasir Puteh bakal menerima suntikan pembangunan apabila kerajaan meluluskan…
Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!