Keterbatasan penglihatan bukan penghalang buat seorang pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubang Kerian II apabila berjaya memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.92 dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025.
Bariyyatul Busyra Ruziham, 20, yang menghidap penyakit Retinitis Pigmentosa (RP) sejak berusia lima tahun, membuktikan bahawa kesungguhan dan disiplin mampu mengatasi pelbagai cabaran yang dihadapi.
Penyakit yang menyerang saraf mata itu menyebabkan penglihatannya semakin merosot dari semasa ke semasa. Walaupun kelihatan normal pada pandangan orang ramai, dia hanya mampu belajar dalam tempoh sekitar satu hingga dua jam sebelum matanya menjadi letih dan penglihatan semakin kabur.
Foto: Sinar Harian
Menurutnya, penggunaan lampu meja dan ubat titis mata menjadi keperluan utama ketika mengulang kaji pelajaran serta semasa menduduki peperiksaan.
“Saya perlukan lampu meja dan ubat titis mata untuk belajar dan semasa menduduki peperiksaan sebab tak nampak huruf dengan jelas.
“Saiz huruf pula perlu dibesarkan dan kalau belajar lama, mata cepat penat, jadi saya kena berhenti rehat,” katanya ketika ditemui di SMK Kubang Kerian II pada Khamis.
Anak ketiga daripada lima beradik itu memperoleh keputusan cemerlang dengan 3A, 1A- dan 1B dalam lima mata pelajaran iaitu Pengajian Am, Bahasa Melayu, Kesusasteraan Melayu Komunikatif, Sejarah dan Pengajian Perniagaan.
Selain berdepan cabaran penglihatan ketika belajar, Bariyyatul Busyra juga sering mendapatkan bantuan rakan-rakan untuk membacakan penerangan guru yang ditulis di papan hitam.
“Kawan-kawan banyak bantu saya apabila tak nampak dengan jelas apa yang ditulis cikgu di papan hitam.
“Waktu peperiksaan pun, saya dapat kelebihan lebih masa setengah jam setiap kertas untuk menjawab soalan,” katanya.
Bangun Seawal 3 Pagi Untuk Belajar
Berkongsi rahsia kejayaannya, Bariyyatul Busyra berkata dia mengamalkan jadual belajar yang teratur dengan tidur sekitar jam 10 malam sebelum bangun seawal jam 3 pagi untuk mengulang kaji pelajaran.
Katanya, suasana yang tenang pada awal pagi membantunya memberi tumpuan lebih baik ketika belajar.
“Dalam keadaan saya macam ini, saya kena percaya diri dan berusaha lebih untuk berjaya.
“Saya belajar waktu-waktu sunyi dan kadang-kala mendengar lagu nasyid selain menjaga adab dengan guru-guru,” katanya.
Pelajar itu turut menyimpan cita-cita untuk menjadi seorang ahli perniagaan pada masa hadapan.
Tiga Beradik Perempuan Hidap Penyakit Sama
Sementara itu, ibunya, Engku Radziah Engku Ahmad, 54, berkata mereka mula menyedari sesuatu yang tidak kena apabila Bariyyatul Busyra sering teraba-raba mencari barang yang terjatuh ketika masih kecil.
Menurutnya, keadaan itu menjadi lebih jelas selepas anak sulungnya turut disahkan menghidap penyakit sama.
“Waktu itu nampak dia macam lain sikit, tapi kami tak sangka rupanya penyakit itu semakin jelas.
“Apabila kakaknya pun disahkan RP, doktor minta semua anak perempuan diperiksa, memang kesemua tiga anak perempuan saya ada penyakit ini,” katanya.
Kakak Bariyyatul Busyra, Rabiaatul Adawiyah, 26, yang kini melanjutkan pengajian dalam bidang Bahasa Arab di Universiti Al-Azhar, Mesir, turut menghidap penyakit sama dan menggunakan kanta pembesar elektronik untuk membantu penglihatan.
Adiknya, Nik Arahadatul Aisy, 15, juga mengalami masalah serupa dengan tahap rabun antara 200 hingga 300.
Kejayaan Bariyyatul Busyra membuktikan bahawa kekurangan fizikal bukan alasan untuk menyerah kalah, sebaliknya mampu menjadi pemangkin semangat untuk terus berjaya dalam pelajaran dan kehidupan.
Sumber: Sinar Harian
SHARE:
