Peguam Ditahan Disyaki Bersubahat Seludup Dadah Ke Penjara Marang

Seorang peguam berusia 32 tahun ditahan polis selepas disyaki bersubahat dengan seorang banduan bagi menyeludup masuk dadah ke Penjara Marang.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin, berkata tangkapan dibuat susulan penemuan dadah dalam simpanan seorang banduan lelaki berusia 25 tahun ketika pemeriksaan dijalankan di penjara berkenaan kira-kira jam 5 petang, 23 Disember lalu.

Menurutnya, pemeriksaan awal menggunakan mesin pengimbas mendapati terdapat objek asing dalam badan banduan terbabit yang baru selesai menjalani perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu.

Banduan itu kemudiannya diasingkan dan diletakkan di bawah pemantauan rapi klinik penjara sebelum dibawa ke Klinik Kesihatan Merchang keesokan harinya bagi pemeriksaan lanjut.

“Hasil pemeriksaan mengesahkan terdapat beberapa objek asing mencurigakan di dalam badan banduan berkenaan,” katanya ketika sidang media hari ini.

Mohd Khairi berkata, pada hari sama banduan terbabit membuang air besar dan mengeluarkan 12 ketulan disyaki mengandungi dadah jenis pil kuda dan ganja.

Tambahnya, pada 25 Disember lalu, banduan sama sekali lagi mengeluarkan 14 ketulan lagi yang disyaki mengandungi dadah jenis pil kuda dan Erimin 5.

Susulan kejadian itu, pihak penjara membuat laporan polis di Balai Polis Marang dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dadah yang dirampas terdiri daripada pil yaba seberat 123 gram, ganja (21 gram) dan Erimin 5 (13 gram) dengan anggaran boleh digunakan kira-kira 800 penagih, membabitkan nilai rampasan berjumlah RM16,000.

Berikutan rampasan itu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Terengganu menjalankan siasatan lanjut sebelum menahan peguam terbabit bagi membantu siasatan.

Suspek direman selama enam hari bermula 30 Disember hingga 4 Januari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 107(C) Kanun Keseksaan.

Dalam perkembangan sama, JSJN turut meminta kerjasama orang ramai, khususnya seorang wanita bernama Nurul Norasikin Aladin, 30, yang beralamat di Kampung Batin, Seberang Takir, supaya tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Sumber: Berita Harian

TERKINI

“Sebagai Bapa, Saya Maafkan Guru Berkenaan” – Bapa Pelajar Maut Dirempuh Di Sekolah
|
Tragedi pilu yang meragut nyawa pelajar Tingkatan Satu, Nur…
Guru Disyaki Rempuh Dua Pelajar Depan Surau Sekolah Di Kota Bharu Dibawa Ke Mahkamah
|
Kes kemalangan tragis yang mengorbankan seorang pelajar Tingkatan Satu…
Iran Telah Lama Bersedia Hadapi Perang Berpanjangan Selama 6 Bulan
|
Iran dilaporkan bersedia menghadapi kemungkinan perang berpanjangan sehingga enam…
Tragedi Pelajar Maut Di Kota Bharu Perlu Jadi Iktibar, Elak Kecuaian – PM
|
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tragedi yang…
Tular Video Pemandu Bas Didakwa Pandu Sambil Meriba Wanita
|
Satu video yang tular di media sosial mencetuskan kemarahan…
AS Dakwa China Bersedia Hantar Sistem Pertahanan Udara Baharu Kepada Iran
|
Perisikan Amerika Syarikat (AS) mendakwa China sedang bersiap sedia…
Jawatan Kosong Kelantan