Lebih 1,000 Pengusaha Bas Persiaran Di Pantai Timur Berisiko Gulung Tikar

Lebih 1,000 pengusaha bas persiaran di Pantai Timur mendakwa kini menanggung kerugian hampir RM1 juta selepas banyak tempahan perjalanan dibatalkan susulan kenaikan harga sewaan bas bagi menampung kos diesel.

Mereka turut memberi amaran operasi membabitkan lebih 5,000 bas persiaran di kawasan itu hanya mampu bertahan sekitar dua bulan sahaja sebelum ramai pengusaha berisiko gulung tikar.

Justeru, mereka memohon campur tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) untuk mempertimbangkan pemberian subsidi diesel bagi membantu kelangsungan industri bas persiaran.

Tempahan Dibatal Selepas Caj Naik 30 Hingga 40 Peratus

Timbalan Presiden Persatuan Bas Pantai Timur (PEBAT), Wan Mohd Nuhairi Wan Hamat berkata, pelanggan mula membatalkan tempahan selepas pengusaha menaikkan kadar caj antara 30 hingga 40 peratus.

“Kenaikan diesel begitu ketara menyebabkan kami pengusaha bas persiaran tersepit dan kini hanya mampu bertahan selama dua bulan sahaja.

“Bayangkan tempahan dibatalkan kerana pelanggan tidak dapat terima kenaikan yang dikenakan antara 30 hingga 40 peratus, sedangkan setiap bulan kami terpaksa membayar pinjaman bas,” katanya ketika ditemui pada himpunan memohon subsidi diesel di Kota Bharu pada Isnin.

Menurut beliau, surat permohonan subsidi diesel sudah dihantar sejak dua minggu lalu dan pihaknya berharap kerajaan dapat memberikan keputusan segera.

Harga Diesel Cecah RM6.05, Pengusaha Semakin Tertekan

Wan Mohd Nuhairi berkata, sekiranya subsidi tidak diberikan, ramai pengusaha dijangka tidak mampu menampung kos operasi tambahan terutama apabila harga diesel mencecah RM6.05 seliter.

Katanya, isu subsidi diesel untuk bas persiaran juga telah diperjuangkan sejak pandemik Covid-19, namun masih belum mendapat penyelesaian.

“Jika ketika Covid-19 pun ramai pengusaha gulung tikar, apatah lagi dengan keadaan sekarang,” katanya.

Beliau turut memberi peringatan bahawa jika ramai pengusaha terpaksa menghentikan operasi, ia akan memberi kesan besar kepada peluang pekerjaan pemandu serta kakitangan syarikat bas persiaran.

Bas Tersadai, Tempahan Sekolah Pun Tiada

Sementara itu, pengusaha bas Asia Travel and Tourism Sdn Bhd, Mohamad Fakkarudin Ibrahim, 32, berkata lebih 10 tempahan pelanggan dibatalkan sejak Mac hingga April.

Beliau yang memiliki 20 bas berkata, syarikatnya turut menanggung kos pinjaman bas hampir RM40,000 sebulan.

“Bas kini hanya tersadai dan kami sangat mengharapkan kerajaan memberikan subsidi kepada kami pengusaha bas persiaran untuk meneruskan operasi,” katanya.

Menurutnya, tempahan yang biasanya meningkat menjelang program besar seperti Pesta Buku di Kelantan juga kini merosot apabila tiada tempahan daripada pihak sekolah.

“Mungkin mereka bimbang dengan kenaikan caj yang dikenakan, sedangkan kami naikkan harga hanya untuk menampung kos diesel,” katanya.


Sumber: Harian Metro

SHARE:

TERKINI

“Saya Rasa Belum Mampu Lagi Keluar Dari Chow Kit Dan Pulang Ke Kelantan”
|
“Rasanya saya masih belum mampu lagi untuk keluar dari…
Sambungan Kereta Api Rantau Panjang–Sungai Golok Dijangka Perkukuh Dagang Dua Negara
|
Projek sambungan perkhidmatan kereta api dari Rantau Panjang, Pasir…
3 Rakyat Malaysia Ditahan, 97kg Syabu Dirampas Dalam Tren Thailand
|
Tiga lelaki rakyat Malaysia ditahan di wilayah timur laut…
“Saya Ulang! Minyak Kita Tak Lalu Selat Hormuz” – Exco Terengganu
|
Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Dr Azman Ibrahim mempertahankan…
PM Beri Amaran Harga Melambung, Minta Rakyat Bersedia
|
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa orang ramai…
Pengurus Stesen Minyak Di Tumpat Akui Cuai, Benarkan Pengisian Petrol Tanpa Tunjuk IC
|
Pengurus sebuah stesen minyak di Tumpat, Kelantan mengakui berlaku…
Jawatan Kosong Kelantan