Tiga Tentera AS Maut, Lima Cedera Parah Dalam Serangan Terhadap Iran

Tentera Amerika Syarikat (AS) mengumumkan tiga anggotanya terbunuh dalam operasi ketenteraan terhadap Iran, menjadikan ia korban pertama AS dalam siri serangan berterusan ke atas negara itu.

Pengumuman pada Ahad itu dibuat oleh United States Central Command (CENTCOM) yang memaklumkan tiga anggota maut manakala lima lagi cedera parah.

“Beberapa yang lain mengalami kecederaan serpihan dan gegaran otak — dan sedang dalam proses kembali bertugas. Operasi tempur utama masih diteruskan dan usaha tindak balas sedang berjalan,” menurut kenyataan tersebut.

CENTCOM turut menjelaskan identiti anggota yang terkorban tidak akan didedahkan sehingga 24 jam selepas waris dimaklumkan.

Serangan itu berlaku pada hari kedua kempen ketenteraan AS dan Israel terhadap Iran yang menurut Presiden AS, Donald Trump, bertujuan menyingkirkan kerajaan Iran daripada berkuasa.

Iran dilaporkan membalas dengan menyerang aset-aset AS di seluruh Asia Barat, sekali gus mencetuskan kebimbangan perang serantau yang lebih luas.

Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (Islamic Revolutionary Guard Corps, IRGC) mendakwa pihaknya menyasarkan kapal induk USS Abraham Lincoln dengan empat peluru berpandu balistik.

Bagaimanapun, seorang pegawai AS memberitahu Al Jazeera bahawa serangan tersebut tidak menyebabkan sebarang kerosakan.

Dalam perkembangan lain, CENTCOM menyatakan pihaknya telah melancarkan serangan terhadap lebih 1,000 sasaran di Iran sejak kempen bermula, termasuk ibu pejabat IRGC dan kapal selam tentera laut Iran.

Wartawan Al Jazeera, Alan Fisher berkata kematian tentera AS itu akan “mengubah banyak perkara” dalam landskap politik negara berkenaan.

Trump dalam temu bual bersama Fox News berkata operasi terhadap Iran “bergerak pantas” dan menegaskan beliau tidak bimbang dengan situasi semasa.

“Saya tidak risau tentang apa-apa, dan keadaan berjalan dengan baik,” katanya.


Iran sebelum ini berikrar akan membalas pembunuhan pemimpin tertinggi mereka serta serangan berterusan AS-Israel, dengan Menteri Luar Abbas Araghchi menegaskan tiada “had untuk mempertahankan diri”.

Sumber: Al Jazeera

SHARE:

TERKINI

Bomba Dedah Punca Kebakaran 27 Rumah Di Gok Kapur
|
Kebakaran yang memusnahkan 27 rumah di Kampung Gok Kapur…
Kerajaan Kelantan Tidak Iktiraf Pelantikan Ketua Rohingya Di Setiap Daerah
|
Kerajaan Kelantan menegaskan bahawa pihaknya tidak mengiktiraf pelantikan ketua…
Seakan Pertubuhan Rasmi, Pelarian Rohingya Lantik Ketua Setiap Daerah Di Kelantan
|
Tular di media sosial mengenai kewujudan sebuah laman yang…
Bekal Air Ketum Kepada Nelayan, Dua Lelaki Ditahan Di Tok Bali
|
Kegiatan membekalkan air ketum kepada nelayan dan awak-awak kapal…
Warga Emas Ditahan Bawa 800kg Beras Seludup Dari Thailand Di Tanah Merah
|
Cubaan seorang lelaki warga emas untuk meloloskan diri daripada…
Ronaldo Pemain Pertama Jaring Gol Dalam Enam Piala Dunia
|
Cristiano Ronaldo terus mengukuhkan statusnya sebagai antara pemain terhebat…
Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!