Israel Dijangka Berperang Dengan Mesir Dalam Tempoh 15 Tahun

Seorang aktivis Zionis terkemuka meramalkan Israel berkemungkinan berdepan peperangan dengan Mesir dalam tempoh 15 tahun akan datang, sekali gus mengubah fokus ancaman keselamatan negara itu di rantau Asia Barat.

Ketua Eksekutif Pusat Herut, Amiad Cohen membuat kenyataan tersebut ketika berucap di Sidang Kemuncak Dasar Antarabangsa anjuran Jewish News Syndicate (JNS) di Baitulmaqdis.

Menurutnya, cabaran strategik utama Israel selepas ini tidak lagi tertumpu kepada Iran dan sekutunya, sebaliknya akan datang daripada kuasa-kuasa Sunni di rantau berkenaan.

“Lima belas tahun dari sekarang, Israel akan berperang dengan Mesir,” katanya sambil mendakwa bahawa ‘Muslim Brotherhood’ akan mengambil alih pemerintahan di negara itu.

Beliau turut menyifatkan Ikhwanul Muslimin sebagai ancaman utama bukan sahaja kepada Israel, malah kepada Amerika Syarikat, selain mendakwa kumpulan itu sedang memperluaskan pengaruh di beberapa negeri di AS seperti Florida dan Texas.

Bagaimanapun, Cohen tidak mengemukakan sebarang bukti bagi menyokong dakwaan tersebut, termasuk kaitannya terhadap kemenangan ahli politik Amerika, Zohran Mamdani, dalam pilihan raya datuk bandar yang disebutnya.

Dalam ucapannya, beliau turut menamakan Turkiye sebagai ancaman yang semakin meningkat kepada Israel, dengan dakwaan negara itu sedang memperluaskan pengaruh di rantau berkenaan.

Menurutnya lagi, Israel perlu menilai semula landskap ancaman keselamatan jangka panjang dengan memberi perhatian kepada kuasa politik Sunni berbanding ancaman Syiah sebelum ini.

Pandangan itu selari dengan kenyataan bekas perisik Israel, Jonathan Pollard, yang sebelum ini turut memberi amaran bahawa Turkiye dan Mesir berpotensi menjadi cabaran strategik Israel pada masa depan.

Hubungan Israel dan Mesir bagaimanapun kekal stabil sejak menandatangani perjanjian damai Egypt–Israel Peace Treaty pada 1979, yang masih mengekalkan kerjasama keselamatan sehingga kini.

Sementara itu, hubungan Israel dan Turkiye pula terus mengalami turun naik sejak beberapa tahun kebelakangan ini berikutan perbezaan pendirian terhadap beberapa isu serantau termasuk Gaza dan Baitulmaqdis.

Sumber: Sinar Harian

SHARE:

TERKINI

Tiga Lelaki Ditahan, Pondok Proses Air Ketum Diserbu PGA Di Tumpat
|
Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menumpaskan satu kegiatan pemprosesan…
Curi RM50 Tabung Masjid Di Wakaf Bharu, Penganggur Dipenjara Lima Bulan
|
Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara lima bulan oleh Mahkamah…
Selepas Empat Tahun Berehat, Rahim Maarof Berkeras Mahu Buat Persembahan Di Kota Bharu
|
Empat tahun berehat daripada dunia nyanyian bukanlah tempoh yang…
Penarik Kereta Direman Selepas Disyaki Edar Pil Kuda Bernilai RM61,000 Di Tumpat
|
Seorang duda yang mempunyai dua anak direman selama tujuh…
KRW FC Tangguh Pengambilan Pemain Baharu, Tunggu Isu Teknikal Selesai
|
Ketua Jurulatih Kelantan Red Warriors (KRW) FC, Irfan Bakti…
46 Projek Bernilai RM207.2 Juta Diluluskan Untuk Pasir Puteh
|
Pasir Puteh bakal menerima suntikan pembangunan apabila kerajaan meluluskan…
Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!