Sembilan Hospital Di Iran Henti Operasi Selepas Serangan Udara

Sekurang-kurangnya sembilan hospital di Iran terpaksa menghentikan operasi susulan serangan udara oleh Amerika Syarikat dan Israel.

Menurut laporan oleh Agensi Berita Jerman (dpa), kemudahan kesihatan di negara itu turut mengalami kerosakan ketara sejak konflik semasa bermula.

Laporan yang dipetik oleh Iranian Labour News Agency (ILNA) pada Selasa memetik kenyataan Ahli Parlimen Iran, Mohammad Jamalian yang merupakan anggota suruhanjaya kesihatan.

Banyak Kemudahan Kesihatan Rosak

Menurut beliau, selain hospital yang terpaksa menghentikan operasi, 18 jabatan kecemasan dan 25 pusat kesihatan turut mengalami kerosakan.

Dalam masa sama, sekurang-kurangnya 14 ambulans dilaporkan musnah akibat serangan tersebut.

Bekalan Ubat Dijangka Cukup Enam Bulan

Jamalian berkata, jika konflik terus berlarutan, bekalan ubat-ubatan strategik Iran dijangka mencukupi sekurang-kurangnya selama enam bulan.

Namun beliau mengakui beberapa jenis ubat kini sudah mula mengalami kekurangan.

Pembedahan Kosmetik Digantung

Susulan keadaan itu, hospital di seluruh negara juga mengambil langkah menangguhkan prosedur tidak penting seperti pembedahan kosmetik sehingga dimaklumkan kelak.

Keutamaan ketika ini diberikan kepada rawatan mangsa yang cedera akibat serangan udara Amerika Syarikat dan Israel, selain kes kecemasan lain.

Setakat ini, kira-kira 1,400 mangsa yang cedera dilaporkan sedang menerima rawatan sebagai pesakit di hospital seluruh negara.

Sumber: Bernama

SHARE:

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!