AS Belanja AS$6 Bilion Minggu Pertama Kempen Ketenteraan Ke Atas Iran

Minggu pertama kempen ketenteraan Amerika Syarikat (AS) terhadap Iran dilaporkan menelan kos sekitar AS$6 bilion, menurut pegawai Pentagon kepada Kongres.

Menurut laporan The New York Times, kira-kira AS$4 bilion daripada jumlah tersebut dibelanjakan bagi peluru berpandu serta sistem pemintas canggih yang digunakan untuk menembak jatuh misil Iran.

Angka tersebut didedahkan ketika perbincangan di Kongres minggu ini, di mana pegawai kanan pertahanan turut memaklumkan bahawa pembiayaan tambahan mungkin diperlukan bagi meneruskan operasi serta menambah semula stok senjata yang semakin berkurangan.

Akhbar itu turut melaporkan bahawa kira-kira 4,000 sasaran di Iran telah diserang setakat ini, termasuk pelancar misil, kapal tentera laut dan sistem pertahanan udara.

Serangan tersebut dilaporkan telah mengurangkan secara signifikan keupayaan Tehran untuk melancarkan serangan balas.

Ketua Markas Pemerintahan Pusat AS (CENTCOM), Laksamana Brad Cooper, berkata pelancaran misil balistik Iran telah menurun sebanyak 90 peratus sejak hari pertama pertempuran.

Menurutnya, serangan dron Iran juga berkurang sebanyak 83 peratus.

Bagaimanapun, beliau berkata Iran masih mengekalkan kemampuan ketenteraan yang besar, termasuk sekitar 50 peratus daripada program misilnya.

Dalam pada itu, ahli Kongres dijangka mempertimbangkan permohonan bajet tambahan daripada pentadbiran AS dalam beberapa minggu akan datang bagi menampung kos operasi ketenteraan tersebut.

Perbelanjaan yang meningkat dengan pantas itu turut mencetuskan kebimbangan dalam kalangan ahli politik daripada kedua-dua parti.

Pengkritik berpendapat penggunaan pemintas misil yang mahal, sebahagiannya bernilai jutaan dolar bagi setiap unit, boleh memberi tekanan kepada industri pertahanan AS serta menjejaskan stok senjata di kawasan strategik lain.

Konflik tersebut bermula selepas AS dan Israel melancarkan serangan ke atas sasaran ketenteraan Iran, sebelum pertempuran merebak ke seluruh Asia Barat.

Iran kemudian melancarkan serangan balas menggunakan misil balistik dan dron yang menyasarkan pangkalan tentera, kemudahan diplomatik serta kakitangan AS di rantau tersebut, selain beberapa bandar di Israel.


Ketegangan di rantau itu terus memuncak sejak serangan besar-besaran yang dilancarkan pada 28 Februari, yang dilaporkan mengorbankan lebih 1,200 orang, termasuk Pemimpin Agung Iran, Ali Khamenei, pelajar sekolah serta pegawai kanan tentera.

Sumber: Bernama

SHARE:

TERKINI

Rohingya Tidak Layak Mohon Lesen, Pemilik Kenderaan Boleh Didakwa – JPJ Kelantan
|
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan menegaskan etnik Rohingya tidak…
Saifuddin Dedah 5 Daerah Catat Penyalahgunaan Dadah Tertinggi Dalam Negara
|
Penyalahgunaan dadah sintetik kini menjadi ancaman terbesar negara apabila…
Kereta Dah Jumpa, Nor Afiza Masih Belum Ditemui Sejak 16 Jun
|
Seorang wanita berusia 41 tahun yang dilaporkan hilang sejak…
Stephen Chow Kembali Dengan “Kung Fu Soccer” Julai Ini
|
Pengarah dan pelakon terkenal Hong Kong, Stephen Chow dilaporkan…
Bangladesh Tolak Permintaan PBB Sedia Lebih Banyak Tanah Untuk Pelarian Rohingya
|
Bangladesh menolak permintaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menyediakan…
KRW Sertai Piala FA Golok, 64 Pasukan Dari Malaysia Dan Thailand Bakal Berentap
|
Kelantan Red Warrior FC (KRWFC) menerima jemputan menyertai kejohanan…
Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!