80,000 Rakyat Palestin Tunai Solat Jumaat Pertama Ramadan Di Masjid Al-Aqsa

Kira-kira 80,000 rakyat Palestin menunaikan solat Jumaat pertama Ramadan di Masjid Al-Aqsa di Timur Baitulmuqaddis yang diduduki, termasuk hanya 10,000 jemaah dari Tebing Barat susulan sekatan ketat Israel, menurut pihak berkuasa tempatan.

Jabatan Wakaf Islam Baitulmuqaddis dalam satu kenyataan memaklumkan jumlah tersebut, lapor Anadolu Ajansi.

Polis Israel ditempatkan secara besar-besaran di sekitar pekarangan masjid serta di seluruh Kota Lama Baitulmuqaddis sebelum waktu solat.

Menurut pihak polis, seramai 3,000 anggota dikerahkan ke seluruh Timur Baitulmuqaddis pada Jumaat, selari dengan sekatan terhadap rakyat Palestin yang dalam perjalanan dari Tebing Barat ke bandar itu.

Saksi memaklumkan tentera Israel menyekat ribuan jemaah di pusat pemeriksaan sekitar Timur Baitulmuqaddis, sekali gus menghalang mereka daripada sampai ke masjid.

Pejabat Gabenor Baitulmuqaddis Palestin berkata ribuan penduduk Tebing Barat bersesak di pusat pemeriksaan Qalandia, namun pihak berkuasa Israel menafikan kemasukan mereka dengan alasan kuota 10,000 orang untuk hari Jumaat telah dipenuhi.

Media Israel, Channel 12 melaporkan kepimpinan politik Israel sebelum ini meluluskan rancangan yang membenarkan sehingga 10,000 jemaah Palestin dari Tebing Barat memasuki Al-Aqsa untuk solat Jumaat sepanjang Ramadan.

Di bawah rancangan itu, rakyat Palestin perlu mendapatkan permit harian khas bagi setiap waktu solat.

Akses dari Tebing Barat dihadkan kepada lelaki berumur 55 tahun ke atas, wanita berumur 50 tahun ke atas serta kanak-kanak bawah 12 tahun yang ditemani saudara terdekat.


Tentera Israel turut memaklumkan semua permit memerlukan kelulusan keselamatan terlebih dahulu dan jemaah perlu melalui prosedur pengesahan digital ketika kembali ke Tebing Barat.

Sumber: Bernama

SHARE:

TERKINI

Dua Beradik Ditahan Simpan Dadah Bernilai RM1.76 Juta Dalam Rumah Di Kuala Terengganu
|
Polis menahan dua beradik selepas disyaki menjadikan rumah mereka…
Rempuh Kenderaan PGA, Lelaki Ditahan Bersama Dadah Di Pasir Mas
|
Seorang lelaki berusia 28 tahun ditahan selepas merempuh kenderaan…
UAI Tegur Suami Nikah Senyap-Senyap, Sah Di Sisi Syarak Tapi Tanggung Dosa Berpanjangan
|
Pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus (UAI) menjelaskan bahawa perkahwinan…
Untung Bukan Keutamaan, Peniaga Di Kota Bharu Kekal Jual Nasi Lemak RM1
|
Tragedi kebakaran yang memusnahkan rumahnya pada 2021 tidak mematahkan…
Suspek Kes Culik Dua Lelaki Di Kelantan Ditahan Di Terengganu
|
Seorang daripada dua suspek yang dipercayai mendalangi kes penculikan…
BERSAMA Umum Bertanding Dalam Pilihan Raya Di Kelantan
|
Parti BERSAMA mengumumkan langkah memasuki arena politik Kelantan menerusi…
Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!