Sultan Selangor Dukacita, Tidak Setuju Penternakan Babi Berskala Besar Di Kuala Langat

Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita serta tidak bersetuju dengan perancangan Kerajaan Negeri yang membenarkan operasi penternakan babi di Tanjong Sepat bermula tahun ini sebelum dipindahkan ke Bukit Tagar pada 2030.

Menurut kenyataan Istana Alam Shah, baginda memandang serius keputusan tersebut kerana ia berpotensi melibatkan pembangunan penternakan babi secara berskala besar dan berorientasikan eksport di atas tanah seluas kira-kira 202 hektar.

Baginda menjelaskan bahawa secara prinsipnya, baginda akur dengan kewujudan penternakan babi berskala kecil dan terkawal bagi memenuhi keperluan sumber makanan masyarakat Cina dan bukan Islam di Selangor.

Namun, menurut kenyataan itu, perancangan berskala besar disifatkan sebagai tidak wajar, tidak sensitif dan tidak seimbang dengan realiti demografi serta keharmonian masyarakat Selangor yang majoritinya terdiri daripada orang Melayu Islam.

Baginda turut menzahirkan kebimbangan memandangkan kawasan Kuala Langat didiami ramai penduduk Melayu, selain isu berkaitan penternakan babi di kawasan itu yang masih belum diselesaikan sepenuhnya sejak 2010.

Menurut baginda, penduduk setempat telah lama menanggung kesan negatif termasuk pencemaran bau, pencemaran air sungai serta masalah lalat yang berlarutan sehingga menjejaskan kualiti hidup dan kesihatan awam.

Dalam kenyataan sama, baginda turut memetik Surah Al-An’aam ayat 145 yang menyebut bahawa daging babi adalah najis dan kotor sebagai penegasan terhadap sensitiviti umat Islam berhubung perkara tersebut.

Sultan Sharafuddin turut menegaskan bahawa Istana Pantai Bahagia, kediaman baginda, terletak di kawasan Kuala Langat dan baginda sendiri menyaksikan serta merasai secara langsung kesan pencemaran bau daripada aktiviti penternakan babi di kawasan berkenaan.

Sehubungan itu, baginda berpandangan adalah tidak munasabah untuk isu yang telah berlarutan lebih sedekad dibiarkan berulang semula dalam skala yang lebih besar.

Baginda turut mengusulkan agar wakil rakyat di negeri ini tinggal dan menetap berhampiran kawasan penternakan babi, khususnya di Kuala Langat, bagi merasai sendiri pengalaman sebenar yang ditanggung penduduk setempat.

“Atas sebab itu juga, baginda tidak bersetuju dengan cadangan menjadikan kawasan Kuala Langat sebagai lokasi sementara penternakan babi sebelum berpindah ke Bukit Tagar kerana bimbang masalah pencemaran yang telah berlarutan sejak 16 tahun lalu akan menjadi lebih buruk,” menurut kenyataan itu.

Dalam kenyataan sama, Sultan Sharafuddin turut mempersoalkan dengan serius sama ada perancangan projek penternakan babi berskala besar ini melibatkan kepentingan kelompok ahli politik dan ahli perniagaan tertentu, termasuk kemungkinan wujudnya unsur rasuah, konflik kepentingan atau ketirisan tadbir urus dalam proses perancangan dan kelulusan projek.

Baginda turut mengimbas kembali usaha Kerajaan Negeri Selangor sebelum ini yang menghantar wakil ke luar negara bagi mendapatkan maklumat berkaitan penternakan babi moden, namun kos pemodenan yang tinggi dilaporkan tidak mampu ditanggung oleh pengusaha ternakan.

Sehubungan itu, baginda mempersoalkan sama ada cadangan terbaharu tersebut akan ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri, sedangkan peruntukan berkenaan lebih wajar disalurkan kepada pembangunan kemudahan asas rakyat seperti sekolah dan hospital.

Walaupun tidak menolak sepenuhnya cadangan projek tersebut, baginda menegaskan bahawa kajian pasaran perlu dibuat secara teliti dan rasional sebelum sebarang keputusan muktamad diambil, agar pembangunan ekonomi tidak mengorbankan kesejahteraan rakyat, kelestarian alam sekitar dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di Selangor.

“Kerajaan Negeri hendaklah bertindak dengan amanah, telus dan bertanggungjawab, serta mengutamakan kepentingan rakyat melebihi segala kepentingan lain,” menurut kenyataan Istana Alam Shah.



Sumber: TVS

TERKINI

“Sebagai Bapa, Saya Maafkan Guru Berkenaan” – Bapa Pelajar Maut Dirempuh Di Sekolah
|
Tragedi pilu yang meragut nyawa pelajar Tingkatan Satu, Nur…
Guru Disyaki Rempuh Dua Pelajar Depan Surau Sekolah Di Kota Bharu Dibawa Ke Mahkamah
|
Kes kemalangan tragis yang mengorbankan seorang pelajar Tingkatan Satu…
Iran Telah Lama Bersedia Hadapi Perang Berpanjangan Selama 6 Bulan
|
Iran dilaporkan bersedia menghadapi kemungkinan perang berpanjangan sehingga enam…
Tragedi Pelajar Maut Di Kota Bharu Perlu Jadi Iktibar, Elak Kecuaian – PM
|
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tragedi yang…
Tular Video Pemandu Bas Didakwa Pandu Sambil Meriba Wanita
|
Satu video yang tular di media sosial mencetuskan kemarahan…
AS Dakwa China Bersedia Hantar Sistem Pertahanan Udara Baharu Kepada Iran
|
Perisikan Amerika Syarikat (AS) mendakwa China sedang bersiap sedia…
Jawatan Kosong Kelantan