Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, hari ini mengarahkan supaya peruntukan segera disediakan bagi menggantikan titi gantung yang runtuh di Lata Rek, Kuala Krai, Kelantan, semalam.
Arahan itu dimaklumkan menerusi kenyataan Pejabat Perdana Menteri (PMO) bagi menjamin keselamatan serta kemudahan penduduk setempat yang terjejas akibat insiden berkenaan.
Menurut kenyataan itu, kerja-kerja penggantian jambatan akan dilaksanakan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama agensi berkaitan.
“Kerja-kerja penggantian jambatan ini akan dilaksanakan Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama agensi-agensi berkaitan bagi memastikan tindakan pantas, berkesan serta menjamin keselamatan dan akses penduduk setempat,” menurut kenyataan itu.
PMO turut memaklumkan bahawa Perdana Menteri memandang serius kejadian runtuhan titi gantung tersebut yang mengakibatkan kecederaan kepada beberapa orang awam serta menjejaskan akses harian penduduk sekitar Kampung Pasir Jering, Dusun Ban, Dusun Bunut dan Kampung Batu Pagar.
Selain itu, Anwar turut menzahirkan rasa simpati dan keprihatinan mendalam terhadap mangsa yang terlibat.
BACA: Kenduri Kahwin Bertukar Cemas, Titi Gantung Runtuh, 50 Tetamu Terjatuh Ke Sungai Di Kuala Krai
“Perdana Menteri menzahirkan simpati dan keprihatinan mendalam kepada lebih 50 mangsa yang terlibat dalam kejadian itu khususnya pasangan pengantin dan keluarga yang diuji dengan musibah,” katanya.
Sebelum ini media melaporkan suasana meriah majlis perkahwinan sepasang pengantin bertukar cemas apabila titi gantung yang dilalui tetamu runtuh secara tiba-tiba, menyebabkan lebih 50 orang terjatuh ke dalam Sungai Chatel Damai di Lata Rek.
Sumber: Bernama
