Kenduri Kahwin Bertukar Cemas, Titi Gantung Runtuh, 50 Tetamu Terjatuh Ke Sungai Di Kuala Krai

Suasana meriah kenduri perkahwinan sepasang pengantin baharu di Lata Rek bertukar cemas apabila sebuah titi gantung yang dilalui tetamu tiba-tiba runtuh, menyebabkan lebih 50 individu terjatuh ke dalam Sungai Chatel Damai, semalam.

Penghulu Mukim Lata Rek, Mohd Zaki Saari, berkata kejadian kira-kira jam 2 petang itu berlaku ketika rombongan tetamu pengantin lelaki dan perempuan bertembung di atas titi gantung berkenaan.

“Ketika itu, rombongan tetamu pengantin lelaki dari Pasir Puteh sedang dalam perjalanan mahu pulang, manakala kumpulan tetamu pengantin perempuan pula baru tiba ke kenduri berkenaan. Lebih 50 tetamu bertembung di atas titi gantung itu sebelum ia runtuh.

“Kejadian itu menyebabkan seorang lelaki patah kaki akibat terjatuh ke atas batu sungai, manakala seorang kanak-kanak cedera di kepala dan menerima beberapa jahitan. Selain itu, tiga lagi mangsa mengalami luka ringan dan sesak nafas,” katanya.

Menurut Mohd Zaki, titi gantung berkenaan merupakan laluan utama penduduk yang menghuni lima buah rumah di kawasan tersebut dan sudah beberapa kali dibaiki sebelum ini.

“Laluan ini sering digunakan oleh penduduk untuk urusan harian, namun hanya boleh dilalui motosikal dan pejalan kaki.

“Walaupun ada laluan lain, jaraknya agak jauh dan juga boleh dilalui motosikal sahaja, sekali gus menyukarkan pergerakan penduduk, terutama ketika kecemasan atau cuaca buruk,” katanya.

Beliau memaklumkan, sebaik sahaja dimaklumkan mengenai kejadian luar jangka itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manek Urai, Mohd Fauzi Abdullah, hadir meninjau lokasi pada petang semalam.

BERKAITAN: PM Arah Titi Gantung Runtuh Di Kuala Krai Segera Diganti



Menurutnya, titi gantung yang runtuh itu akan dibaik pulih dengan segera selepas pemeriksaan mendapati tali pengikat yang tertanam dalam simen sudah uzur dan perlu diganti.

“Masalah ini akan segera diangkat kepada pihak berkaitan bagi mendapatkan peruntukan segera untuk pelaksanaan kerja-kerja baik pulih demi keselamatan penduduk, selain mengelakkan insiden sama daripada berulang,” katanya.



Sumber: Berita Harian

TERKINI

[VIDEO] Pelancong Indonesia Tertarik Penggunaan Tulisan Jawi Di Kelantan
|
Sejak penerbangan terus Jakarta-Kota Bharu dibuka pada 16 Jun…
Kereta Bawa 200,000 Batang Rokok Seludup Terbabas Dalam Tali Air Di Tumpat
|
Cubaan seorang penyeludup meloloskan diri daripada ditahan Pasukan Gerakan…
12 Pegawai Polis Ditahan Disyaki Peras Ugut Warga China RM2 Juta
|
Seramai 12 pegawai polis pelbagai pangkat ditahan selepas dipercayai…
Mbarga, Musa Dijangka Turun Beraksi Dalam Pusingan 16 Piala FA Golok
|
Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) bakal meneruskan cabaran…
Wayang Kulit Kelantan Makin Sukar Bertahan, Permit Dan Kekurangan Pelapis Jadi Cabaran
|
Ramai menyangka Wayang Kulit Kelantan sudah tidak lagi diminati.Hakikatnya,…
Thailand Bina Pagar Kawat Berduri 99KM Di Sempadan Kelantan-Narathiwat
|
Wilayah Tentera Ke-4 Thailand bakal membina pagar kawat berduri…
Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!