Sindiket penyeludupan didalangi dua lelaki bertindak agresif apabila mencampakkan gula dan minyak masak ke atas jalan raya bagi menghalang pergerakan pasukan penguatkusa yang mengekori mereka.
Timbalan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Aswadi Jaafar, berkata bagaimanapun kedua-dua suspek berjaya melarikan diri dalam operasi yang dijalankan sekitar jam 10.45 pagi bersama Pasukan Polis Marin Wilayah 3.
Menurutnya, operasi itu dijalankan hasil maklumat risikan berkaitan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang disyaki membawa muatan barang kawalan secara tidak sah.
“Semasa pasukan penguat kuasa mengekori kenderaan terbabit, suspek bertindak agresif dengan mencampakkan beberapa bungkusan gula dan kotak minyak masak ke atas jalan raya, dipercayai bagi menghalang pergerakan pasukan serta melupuskan bahan bukti,” katanya dalam satu kenyataan.
Aswadi berkata, kenderaan tersebut kemudiannya dikesan memasuki kawasan Kampung Cherang, Chabang Empat Tok Mek Ngah sebelum berhenti, namun pemandu dan kelindan bertindak melarikan diri ke kawasan semak berhampiran.
Usaha mengesan kedua-dua suspek bagaimanapun tidak membuahkan hasil.
Pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan berkenaan mendapati sejumlah besar minyak masak bersubsidi dan gula pasir kasar disimpan di dalamnya.
“Pasukan turut berjaya mengutip semula barang kawalan yang dibuang di sepanjang laluan kejadian untuk tujuan pengiraan dan siasatan,” katanya.
Hasil rampasan dianggarkan melibatkan lebih 300 kilogram minyak masak bersubsidi dan 700 kilogram gula pasir kasar, selain sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dipercayai digunakan bagi tujuan penyelewengan.
Kesemua barangan rampasan telah disita dan kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Aswadi menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam penyelewengan barang kawalan yang menjejaskan bekalan serta kepentingan rakyat.
Sumber: Sinar Harian, Utusan
SHARE:
