3 Pasangan Malaysia Berkahwin Di Narathiwat Setiap Hari, Kebanyakannya Untuk Poligami

Lebih 800 pasangan dari Malaysia direkodkan berkahwin di Selatan Thailand sepanjang tahun lalu, dengan kebanyakannya melibatkan perkahwinan poligami.

Timbalan Presiden Majlis Agama Islam Narathiwat, Abdul Aziz Che Mamat berkata, selain faktor poligami, terdapat juga pasangan yang tidak mendapat restu keluarga sehingga memilih untuk melangsungkan perkahwinan di Thailand.

Menurutnya, dianggarkan sekitar tiga pasangan dari Malaysia berkahwin setiap hari di Majlis Agama Islam Narathiwat, jumlah yang jauh menurun berbanding tahun sebelumnya iaitu antara tujuh hingga sembilan pasangan sehari.

“Walaupun berkurangan, pasangan dari Malaysia masih datang untuk berkahwin di sini. Kebanyakannya datang sendiri, namun ada juga yang masih menggunakan khidmat ejen pernikahan,” katanya.

Abdul Aziz menjelaskan, penurunan ketara jumlah pasangan dari Malaysia mula berlaku sejak penutupan sempadan Disember 2024 yang dilaksanakan oleh polis Kelantan.

“Keadaan ini mungkin disebabkan masalah untuk membuat pasport atau urusan dokumentasi lain,” katanya.

Susulan pengurangan jumlah pasangan, beliau berkata pihaknya telah menutup pejabat urusan pernikahan di Golok dan Takbai, dan semua urusan akad nikah kini hanya dijalankan di pejabat Majlis Agama Islam Narathiwat.

“Jika sebelum ini pasangan tanpa wali boleh berkahwin di Golok dan Takbai, namun sejak sebulan lalu pejabat berkenaan ditutup dan urusan hanya dibuat di pejabat utama.

“Bagaimanapun, bagi pasangan yang hadir bersama wali dan tidak memerlukan wali daripada pihak kami, mereka masih boleh berkahwin dengan imam kami di Golok dan Takbai,” katanya.

Menurut beliau, caj perkahwinan dikenakan sebanyak 5,200 baht bersamaan kira-kira RM680, jauh lebih murah berbanding caj ejen yang boleh mencecah lebih RM2,000.

Abdul Aziz berkata, kebelakangan ini semakin ramai pengantin dari Malaysia hadir sendiri tanpa menggunakan ejen kerana kos lebih rendah dan sudah memahami prosedur pernikahan di sana.

Namun, beliau mengingatkan pasangan agar berhati-hati sekiranya menggunakan khidmat ejen.

“Kita bimbang jika mereka menggunakan ejen yang salah, imam pula tidak bertauliah dan wali tidak jelas, perkahwinan itu mungkin tidak sah,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan pasangan dari Malaysia supaya membuat semakan terlebih dahulu sebelum menggunakan perkhidmatan ejen pernikahan.



Menurutnya, Majlis Agama Islam Narathiwat hanya menguruskan perkahwinan pasangan yang membawa dokumen lengkap dan tidak menikahkan pasangan bawah umur.

Sumber: Berita Harian

SHARE:

TERKINI

KelSDeaf Perlukan RM100,000 Untuk Jayakan Kejohanan Futsal Orang Pekak Malaysia Di Kelantan
|
Persatuan Sukan Orang Pekak Negeri Kelantan (KelSDeaf) memerlukan RM100,000…
Pusat Latihan Kelantan Red Warrior FC Guna Rumput Jenis Zoysia
|
Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) dilihat semakin serius…
Negara Diancam “Melayu Phobia”, Perlu Akta Khusus Lindungi Asal Usul Melayu
|
Kerajaan digesa menggubal satu akta khusus yang memperuntukkan bahawa…
[VIDEO] Pelancong Indonesia Tertarik Penggunaan Tulisan Jawi Di Kelantan
|
Sejak penerbangan terus Jakarta-Kota Bharu dibuka pada 16 Jun…
Kereta Bawa 200,000 Batang Rokok Seludup Terbabas Dalam Tali Air Di Tumpat
|
Cubaan seorang penyeludup meloloskan diri daripada ditahan Pasukan Gerakan…
12 Pegawai Polis Ditahan Disyaki Peras Ugut Warga China RM2 Juta
|
Seramai 12 pegawai polis pelbagai pangkat ditahan selepas dipercayai…
Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!