Lebih 500 akaun penduduk sekitar Tumpat yang lama berdepan masalah bekalan, tekanan dan kualiti air akhirnya bakal mendapat penyelesaian melalui pembinaan penapis tekanan baharu di tapak telaga tiub Kampung Laut.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Kelantan, Saizol Ismail berkata penambahbaikan itu dijangka menamatkan isu yang menghantui penduduk terutama di Kampung Teluk Renjuna sejak bertahun-tahun.
Daripada 505 akaun pengguna Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB), lebih 100 kediaman masih mengalami tekanan air rendah, terutamanya kawasan hujung kampung yang sukar menerima aliran air stabil.
“Masalahnya bukan kapasiti air, tetapi ketinggian tangki yang tidak cukup untuk menolak air sampai ke kawasan gangguan. AKSB akan memasang pam penggalak bagi menyelesaikan masalah ini,” katanya.
Dengan langkah itu, penduduk di Kampung Pulau 100, Teluk Renjuna, Pulau Beluru, Pulau Besar dan kawasan sekitar dijangka menikmati bekalan air lebih stabil selepas sekian lama menunggu.
Saizol berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke tapak telaga tiub Kampung Laut, bersama ADUN Pasir Pekan Datuk Ahmad Yakob dan Timbalan Pengurus Besar Operasi & Teknikal AKSB, Azlee Aladin.
Selain itu, Saizol memaklumkan dua lagi projek bekalan air kini dalam proses rekabentuk dan perancangan:
• Naik taraf sistem proses Loji Rawatan Air (LRA) Wakaf Bharu, melibatkan kos RM400,000
• Pembinaan LRA Sungai Pengkalan Nangka, projek KKDW bernilai RM75 juta yang dijangka siap pada 2029
Projek-projek ini dijangka menjadi penyelesaian jangka panjang kepada isu air di kawasan Tumpat dan sekitarnya.
KD: Isu air memang antara rungutan paling lama di Tumpat. Harap projek baharu ini benar-benar beri kelegaan kepada penduduk
Sumber: Harian Metro
