Ayam percik, kain sarung warnai Krismas masyarakat Kristian Kelantan

Krismas di Kelantan tidak hanya disambut dengan lagu dan hiasan perayaan, sebaliknya turut diserikan dengan hidangan tempatan seperti ayam percik, nasi dagang, budu dan nasi kerabu Golok, mencerminkan penyesuaian masyarakat Kristian dengan budaya setempat.

Sambutan Krismas di negeri ini lazimnya diraikan secara sederhana dan tertumpu di gereja serta kediaman masing-masing, menggambarkan kehidupan masyarakat Kristian yang telah lama menyesuaikan diri dengan cara hidup masyarakat tempatan.

Paderi Gereja Presbyterian Kelantan, Lim Khet Keang, 59, berkata penganut Kristian di Kelantan, khususnya di Kota Bharu, merupakan masyarakat minoriti dengan jumlah gereja yang terhad dan kebanyakannya berskala kecil.

“Dari segi makanan, ayam percik, nasi dagang, budu dan nasi kerabu Golok kekal menjadi pilihan kerana sudah sebati dengan selera masyarakat Kelantan.

Selain itu, terdapat juga hidangan barat seperti spageti yang digemari golongan muda.

“Krismas di Kelantan diraikan secara hampir seragam, dengan sebahagian penganut mengadakan makan malam pada 24 Disember atau lebih awal, selain aktiviti ‘caroling’ iaitu melawat rumah ahli gereja sebelum berkumpul untuk makan malam bersama,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Menurut Khet Keang, setiap 25 Disember penganut Kristian akan berhimpun di gereja pada waktu pagi sebelum menikmati makan tengah hari bersama keluarga atau rakan terdekat.

Pengaruh budaya tempatan juga jelas dalam sambutan Krismas di Kelantan, termasuk dari segi pemakaian dan makanan.

Sebahagian warga emas masih mengenakan kain sarung ketika menghadiri upacara di gereja, khususnya di Gereja Presbyterian Wakaf Bharu.

“Di gereja Wakaf Bharu, masih terdapat warga emas yang berpakaian seperti orang kampung Melayu Kelantan, berkain sarung dan bertutur dalam dialek tempatan ketika datang ke gereja, sesuatu yang jarang dilihat di negeri lain,” katanya.

Beliau turut memaklumkan Gereja Presbyterian Kelantan di Kota Bharu merupakan gereja pertama di negeri ini yang ditubuhkan pada 1938 dan kini mempunyai kira-kira 150 penganut aktif.

Selain beberapa gereja utama di Kota Bharu, terdapat lima gereja kecil di daerah Rantau Panjang, Tanah Merah, Kuala Krai, Gua Musang dan Wakaf Bharu, Tumpat.

Sementara itu, Lee Lai Ting, 62, yang juga seorang guru tuisyen, berkata persiapan Krismas di rumah atau rumah ibadat dilakukan secara sederhana termasuk menghias pokok Krismas.

“Pokok Krismas itu saya hias sendiri dan sekadar menceriakan suasana rumah sempena Krismas.

Pokok Krismas mempunyai pelbagai simbolik dalam kepercayaan Kristian, antaranya warna hijau yang melambangkan kehidupan dan pertumbuhan, lampu sebagai simbol kehidupan yang terang serta bintang di puncak pokok sebagai panduan hidup,” katanya.

Menurutnya, amalan memberi hadiah sempena Krismas juga dilakukan secara sederhana sebagai lambang perkongsian dan berkat, khususnya kepada kanak-kanak dalam aktiviti gereja.

“Sambutan Krismas di Kelantan bukan bersifat komersial atau mewah, sebaliknya lebih menekankan tradisi, ibadat dan ikatan keluarga dalam kalangan masyarakat minoriti Kristian,” katanya.



Sumber: Berita Harian

TERKINI

Bukan Lagi Untuk Kayangan, HPUSM Tawar IVF Dengan Kos Jauh Lebih Rendah
|
Rawatan persenyawaan in vitro (IVF) kini bukan lagi sesuatu…
PGA Serbu Kilang Kayu Di Kuala Krai, Rampas Kayu Tidak Bercukai Bernilai RM1 Juta
|
Pasukan Gerakan Am (PGA) menyerbu sebuah kilang kayu yang…
Cuaca Panas Buatkan Itik ‘Merajuk’ Enggan Bertelur, Hilang Selera Makan
|
Seorang penternak itik telur di Kampung Sering, Kota Bharu…
‘Lebih Melayu Daripada Melayu’, Kisah Hidup Prof Teo Kok Seong, Pakar Bahasa Dari Kelantan
|
‘Lebih Melayu Daripada Melayu’ Nama Profesor Datuk Dr Teo…
[VIDEO] Risau Keselamatan Pelajar, Individu Sukarela ‘Trim’ Pokok Halang Laluan Pejalan Kaki
|
Tindakan seorang individu yang secara sukarela membersihkan laluan pejalan…
Pemandu Sambilan Didakwa Edar Dadah Sintetik Hampir 570kg
|
Seorang pemandu sambilan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh…
Jawatan Kosong Kelantan