Kelantan menyasarkan pembangunan rantaian industri unsur nadir bumi bukan radioaktif (REE) secara menyeluruh daripada sektor hulu hingga hiliran bagi menghasilkan nilai tambah ekonomi, seiring pembukaan makmal piawaian mineral nadir bumi bertaraf standard global pertama di negeri ini.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan, Hilmi Abdullah berkata, kerajaan negeri mempunyai visi jelas untuk memastikan industri REE tidak hanya tertumpu kepada eksport bahan mentah semata-mata.
Menurutnya, industri itu perlu diperkasa melalui pembangunan ekosistem bernilai tinggi melibatkan keseluruhan rantaian industri bermula daripada aktiviti eksplorasi dan perlombongan mampan sehingga penghasilan produk akhir berteknologi tinggi.
Fokus Hulu Hingga Hiliran
Katanya, di peringkat hulu atau upstream, fokus akan diberikan kepada aktiviti eksplorasi dan perlombongan mampan yang mematuhi piawaian alam sekitar.
“Di peringkat pertengahan atau midstream pula, kita mahu memperkukuhkan proses pengasingan dan pemprosesan bahan mentah secara domestik agar nilai ekonomi dapat dikekalkan dalam negara.
“Manakala di peringkat hiliran atau downstream, sasaran kita adalah untuk menghasilkan produk akhir bernilai tinggi seperti magnet kekal, komponen kenderaan elektrik (EV) serta pelbagai teknologi hijau yang menjadi keperluan dunia masa kini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan pembukaan makmal piawaian mineral nadir bumi milik Kelstone Cosmos Gemilang Perkasa di Bandar Baru Tunjung, Kota Bharu.
Tambahnya, dengan perancangan tersusun dan kerjasama strategik semua pihak, Kelantan berpotensi muncul sebagai hab rantaian bekalan REE yang lengkap dan berdaya saing di rantau ini.
Tiga Prinsip Pembangunan REE
Dalam pada itu, Hilmi menegaskan pembangunan industri REE negeri wajib berpaksikan kepada tiga prinsip utama bagi memastikan manfaat ekonomi bergerak seiring tanggungjawab sosial dan kelestarian alam sekitar.
Menurutnya, prinsip pertama ialah kesedaran bahawa segala hasil bumi merupakan amanah Allah SWT dan manusia bertanggungjawab menguruskannya secara berintegriti sebagai khalifah di muka bumi.
Prinsip kedua pula menuntut penguasaan ilmu pengetahuan, teknologi dan inovasi supaya khazanah bernilai tinggi itu dapat diterjemahkan kepada manfaat ekonomi lebih besar.
“Khazanah yang bernilai ini tidak akan membawa manfaat sekiranya tidak diproses dengan ilmu pengetahuan dan teknologi yang tinggi.
“Oleh itu, penguasaan teknologi, inovasi dan kepakaran mesti menjadi teras utama dalam pembangunan industri ini,” ujarnya.
Menurut beliau, prinsip ketiga menekankan pembangunan industri yang memberi kemakmuran kepada rakyat melalui peluang pekerjaan berkualiti tinggi, pembangunan modal insan serta pertumbuhan ekonomi negeri tanpa mengabaikan aspek kelestarian alam sekitar.
Makmal Piawaian REE Bertaraf Global
Sementara itu, Pengurus Besar Kelstone, P.Geol Phakhruddin Abdullah berkata, makmal berkenaan mempunyai keupayaan khusus untuk menganalisis unsur nadir bumi menggunakan piawaian standard reference material sebagai penanda aras ketepatan analisis mineral.
Katanya, unsur piawai itu penting untuk tujuan penentukuran peralatan analisis agar keputusan diperoleh mencapai tahap ketepatan tinggi mengikut standard antarabangsa.
“Standard ini akan digunakan untuk menyelaraskan alat analisa. Tanpa standard yang tepat, nilaian atau bacaan yang diberikan daripada analisa akan memberi nilai yang tidak tepat.
“Pada masa kini, standard bagi 17 elemen REE ini adalah terkawal dan Kelstone Cosmos Lab memperoleh standard tersebut secara terus dari China,” jelasnya.
Beliau turut memaklumkan makmal Kelstone Cosmos merupakan satu-satunya makmal di Malaysia yang berjaya memperoleh bekalan piawaian REE secara langsung dari China.
Sumber: inforakyat.kelantan.my
SHARE:
