Terpaksa Pindah & Jual Rumah Yang Didiami Selama 20 Tahun Gara-gara Kucing Jiran

Apa yang sepatutnya menjadi tempat berehat dan menghabiskan hari tua bertukar menjadi episod paling perit dalam hidup sebuah keluarga, apabila rumah yang didiami selama 20 tahun terpaksa dilepaskan gara-gara masalah kucing jiran yang tidak berkesudahan.

Perkara itu dikongsikan oleh seorang pengguna Facebook tanpa nama menerusi kumpulan JB Tracer 11, yang meluahkan penderitaan dialami mereka sekeluarga sepanjang lima tahun akibat najis dan kencing kucing yang berterusan.

Menurut perkongsian tersebut, rumah unit corner lot di Johor Bahru yang didiami sejak dua dekad lalu telah diubah suai dengan belanja puluhan ribu ringgit, termasuk mencantikkan laman sisi dengan niat menjadikannya rumah persaraan.

Namun segalanya musnah apabila laman luas itu dijadikan “tandas awam” oleh kucing-kucing yang diberi makan oleh jiran, tanpa sebarang tanggungjawab mengurus kebersihan haiwan tersebut.

“Sepanjang lima tahun ini, macam-macam usaha kami buat semata-mata nak jaga ukhuwah jiran,” tulisnya.

Antara usaha yang dilakukan termasuk menegur jiran secara bersemuka, menyediakan litter box dan pasir dengan wang sendiri, memindahkan kucing ke kawasan lain, serta memasang pagar tambahan — namun semuanya gagal kerana punca utama masih berulang, iaitu pemberian makan tanpa penyediaan tempat najis.

Kesan emosi, kewangan dan ibadah

Menurut pemilik rumah, kesan yang ditanggung bukan sekadar kotoran fizikal, malah memberi tekanan emosi dan kewangan yang besar.

Mereka terpaksa mengupah pembersih hampir setiap bulan, mengecat semula dinding luar rumah akibat ‘marking’ kencing kucing, serta membuang kasut, selipar, perabot laman, pakaian dan karpet kerana bau yang tidak dapat dihilangkan.

Lebih menyedihkan, isu tersebut turut menjejaskan ketenangan ibadah.

“Berapa kali terpijak kencing kucing tanpa sedar, kemudian masuk rumah. Hati jadi was-was setiap kali nak beribadah. Terpaksa mop satu rumah semula,” katanya.

Tambahnya lagi, setiap kali pulang dari kerja dengan niat mahu berehat, mereka terpaksa berhadapan bau hancing dan najis di laman, sehingga hilang ketenangan dan rasa ‘berkat’ hidup.

Nekad berpindah, tindakan undang-undang menyusul

Tidak sanggup lagi menanggung penderitaan, pasangan suami isteri itu akhirnya membuat keputusan berat menjual rumah berkenaan dan akan berpindah keluar hujung bulan ini.

Mereka turut memaklumkan akan membuat laporan rasmi di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171), Seksyen 80 dan 81 berkaitan kacau ganggu, selain menyerahkan bukti rakaman CCTV dan gambar kepada pihak berkuasa.

Perkongsian itu turut menyentuh mengenai garis panduan baharu Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang dijangka dikuatkuasakan bermula 1 Januari 2026 berkaitan pengurusan haiwan peliharaan.

Dalam nada penuh kecewa, penulis menegaskan bahawa memberi makan haiwan adalah amalan mulia, namun menjaga hak jiran daripada kotoran dan bau adalah satu kewajipan.

“Memberi makan haiwan itu sunat, tetapi menjaga hak jiran itu wajib. Jangan sampai pahala ibadah kita hilang kerana menganiaya orang lain,” katanya.

Perkongsian tersebut mencetuskan pelbagai reaksi netizen, dengan ramai menyuarakan simpati serta berharap isu pengurusan haiwan, khususnya kucing jalanan, dapat ditangani dengan lebih berhemah dan bertanggungjawab.

KD: Adab berjiran ini sangat penting, walau sehelai daun dari pokok kita masuk pagar jiran akan dihisab kelak.

TERKINI

Lelaki Cuba Lari Selepas Menyeberang Dari Thailand, 402 Pil Yaba Dirampas
|
Pasukan Strike Force Kompeni B Batalion 9 Pasukan Gerakan…
Dibayar RM4,000 Bawa 5Kg Ganja Dari Thailand Ke Kuala Lumpur, 2 Lelaki Ditahan Di Rantau Panjang
|
Pasukan Strike Force/Tiger Platoon Kompeni A Batalion 9 Pasukan…
Wanita Ditahan Bersama 5 Laras Senjata Api Termasuk M16 Di Kuala Krai
|
Polis menahan seorang wanita dan merampas lima laras senjata…
Polis Buru 5 Suspek Kes Tembakan Di Kemahang, Lelaki Cedera Di Dagu
|
Polis kini memburu lima suspek yang disyaki terbabit dalam…
Hujan Lebat Akibatkan Banjir Kilat Di Cameron Highlands
|
Hujan lebat selama lebih dua jam mengakibatkan kejadian banjir kilat…
“Tak Pernah Terfikir Jadi Hafiz, Tapi Di Penjara Saya Hafaz 30 Juzuk”
|
“Tidak pernah terlintas di fikiran saya untuk bergelar hafiz,…
Jawatan Kosong Kelantan