Lelaki disyaki pukul anak saudara dengan tukul ditemui maut tergantung di Pantai Melawi

BACHOK – Seorang penganggur dipercayai menamatkan riwayatnya sendiri selepas memukul anak saudaranya berusia tujuh tahun dengan tukul sehingga parah dalam kejadian di sebuah rumah kedai di Jelawat, petang khamis.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.15 petang, suspek berusia 46 tahun itu dikatakan memukul kepala mangsa menggunakan sebatang tukul sebelum melarikan diri.

Timbalan Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Mohd Azrie Sulaiman berkata, kanak-kanak terbabit mengalami kecederaan serius di bahagian kepala dan kini dirawat di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

“Pihak polis menerima panggilan daripada orang awam mengenai seorang kanak-kanak cedera akibat dipukul. Siasatan awal mendapati kejadian berlaku di sebuah rumah kedai yang merupakan tempat tinggal suspek.

“Suspek dipercayai memukul kepala anak saudaranya dengan tukul sebelum ditemui dalam keadaan tergantung pada sebatang pokok rhu di Pantai Melawi, kira-kira enam kilometer dari lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi.

Menurut beliau, mayat suspek sedang diuruskan pihak forensik manakala keadaan mangsa masih dilaporkan kritikal. Siasatan lanjut dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian.

#KelantanDaily
Sumber: Berita Harian

BACA JUGA: Kanak-kanak 7 tahun kritikal dipukul bapa saudara dengan tukul

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!