Harapan untuk rakyat Kelantan menikmati perjalanan menggunakan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) lebih awal kini semakin cerah apabila Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) sedang berusaha memulakan operasi seawal pertengahan Disember 2026.
Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, perkembangan positif ujian dan pentauliahan memberi keyakinan kepada pihaknya untuk menyahut cabaran Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, supaya ECRL dibuka kepada orang ramai lebih awal daripada sasaran asal pada Januari 2027.
Menurutnya, sasaran asal pembukaan operasi adalah pada Januari tahun depan bersempena cuti sekolah.
Bagaimanapun, keputusan positif daripada ujian yang sedang dijalankan kini membolehkan MRL berusaha mencapai sasaran baharu pada Disember.
“Kami kini dalam fasa kedua dari Kuantan ke Gombak dan keputusan ujian adalah positif. Kami menerima cabaran kerajaan untuk membuka operasi pada Disember dan usaha kami kini tertumpu ke arah sasaran itu,” katanya.
“Doktor Kuning” Uji Laluan ECRL
Antara komponen penting dalam proses ujian dan pentauliahan ECRL ialah Comprehensive Inspection Train (CIT).
Kereta api ini mempunyai jalur kuning yang tersendiri dan digelar “doktor kuning” kerana tugasnya memeriksa serta mengenal pasti potensi masalah di sepanjang laluan.
CIT memulakan perjalanan ujian dari Kuantan ke Kota Bharu pada bulan lalu dan kini memasuki fasa kedua dari Kuantan ke Gombak.
Darwis berkata, Site Acceptance Test (SAT) telah selesai, manakala System Integration Test (SIT) pula sudah mencapai kira-kira 80 peratus.
Ujian kelajuan secara berperingkat dari Kuantan ke Kota Bharu turut mencatat keputusan positif.
Kerja-kerja ujian akan diteruskan sebelum kereta api dijangka beroperasi sepenuhnya dari Kota Bharu ke Gombak dan sebaliknya menjelang akhir September.
Selepas itu, Fault-Free Run (FFR) dijadualkan dijalankan pada Oktober.
Merentasi Terowong Genting 16.39 Kilometer
Dalam perjalanan khas CIT yang membawa pengamal media dari Gombak ke Bandar Pelabuhan Kuantan hari ini, perjalanan mengambil masa kira-kira 90 minit.
Laluan itu turut merentasi Terowong Genting sepanjang 16.39 kilometer pada kelajuan purata 160 kilometer sejam.
Secara keseluruhan, kemajuan projek ECRL telah mencapai 95.41 peratus setakat Ogos, manakala Fasa 1 mencatat kemajuan sebanyak 97.65 peratus.
MRL juga akan terus bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang bagi mempermudah usaha pembukaan operasi mengikut tempoh yang disasarkan.
Kota Bharu-Gombak Sekitar Empat Jam
Apabila beroperasi kelak, ECRL dijangka mengubah perjalanan antara Kelantan dan Lembah Klang.
Perjalanan dari Kota Bharu ke Gombak dijangka mengambil kira-kira empat jam, berbanding sekitar tujuh jam menggunakan jalan darat.
Bagaimanapun, tambang ECRL masih belum diputuskan.
Darwis berkata kadar tambang akan diumumkan oleh Kementerian Pengangkutan, dengan kerajaan dijangka memastikan kadar yang dikenakan berada pada tahap berpatutan.
Lebih 40 Ujian CIT Sudah Dilakukan
Sementara itu, Pengarah Projek dan Penasihat Kanan China Communications Construction Company ECRL Sdn Bhd (CCCECRL), Kong Qi berkata, ujian ECRL setakat ini mencatat keputusan positif.
Lebih 40 ujian CIT telah dilakukan, manakala 12 ujian kereta api kargo turut diselesaikan.
Menurutnya, SIT yang bermula pada 21 Ogos meliputi 10 kawasan utama termasuk terowong, jambatan, subgred dan landasan.
Ia turut merangkumi bekalan kuasa tarikan, komunikasi, sistem maklumat perkhidmatan penumpang, keserasian elektromagnetik serta pembumian bersepadu.
“Kami menguji setiap selekoh dan kestabilan kereta api. Kami mendapati beberapa parameter memerlukan penyelarasan, seperti ketika membelok, namun hal itu telah dibaiki. Setakat ini, semuanya berjalan dengan lancar,” katanya.
Kong berkata CIT sebelum ini telah menyelesaikan ujian peningkatan kelajuan sehingga 176 kilometer sejam pada bahagian pertama.
Ujian bagi bahagian lain masih diteruskan sebelum projek beralih kepada ujian Automatic Train Protection (ATP) dan sistem isyarat, diikuti FFR.
CIT dilengkapi sistem pemeriksaan khusus bagi membolehkan jurutera menilai keadaan landasan, prestasi kereta api dan sistem berkaitan dalam keadaan yang menyerupai operasi sebenar.
Pemeriksaan turut merangkumi kejuruteraan landasan, bekalan kuasa tarikan serta sistem isyarat dan komunikasi.
Data seperti geometri landasan, profil rel, interaksi roda dan rel, dinamik gerabak, prestasi pantograf serta katenari dikumpulkan bagi membantu jurutera mengenal pasti dan membetulkan sebarang potensi masalah.
Dengan proses ujian dan integrasi sistem yang terus berjalan, sasaran pembukaan ECRL seawal pertengahan Disember kini menjadi antara perkembangan yang paling dinantikan, khususnya bagi pengguna di Kelantan, Terengganu dan Pahang.
Sumber: Bernama
