Hanya Beberapa Saat Memisahkan Kami daripada Maut

Hanya beberapa saat memisahkan sebuah keluarga daripada maut apabila Perodua Alza mereka remuk dihempap pokok tumbang di Taman Sena, Kangar, semalam.

Menurut laporan Kosmo!, kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu berlaku ketika Ros Ayu Ismail, 37, dan suaminya, Nazrin Ridwan Saad, 42, sedang memasukkan barangan niaga yang dibeli dari sebuah kedai borong ke dalam bonet.

Dua anak mereka pula berada di dalam kenderaan pelbagai guna berkenaan.

“Saya sekeluarga nyaris maut dihempap pokok tumbang itu, namun Allah jaga dan lindung kami. Hanya beberapa saat memisahkan kami daripada maut,” kata Ros Ayu.

Menurutnya, ketika mahu berjalan menuju ke pintu kereta, hatinya tiba-tiba terdetik untuk bertanyakan sesuatu kepada suaminya.

“Semasa saya mahu berjalan menuju ke pintu kereta, tiba-tiba hati saya terdetik nak tanya suami tentang barang yang dibeli sudah cukup atau tidak. Saya berhenti dan beralih sebentar ke arah suami.

“Waktu itulah pokok tumbang menghempap kereta. Saya tidak nampak pokok itu tumbang dan tidak dengar sebarang bunyi sebelum kejadian,” katanya.

Coklat Jadi Asbab Anak Beralih Tempat

Anak lelakinya, Uwais Zayyan, 6, turut terselamat selepas beralih dari tempat duduk tengah bahagian hadapan ke belakang apabila diberikan coklat oleh bapanya.

“Anak perempuan saya, Nur Iffat Zuleykha, 9, pula memang berada di tempat duduk belakang ketika kejadian.

“Sebaik sahaja pokok tumbang atas kereta, saya terus menjerit kerana dua anak ada dalam kereta dan cuba tarik pintu. Waktu itu saya terus fikir perkara paling buruk berlaku kerana anak lelaki biasanya duduk di bahagian tengah hadapan.

“Saya sudah terbayangkan darah dan perlu kuat untuk tengok keadaan anak-anak dalam kereta kerana bahagian tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan remuk.

“Allah sahaja yang tahu betapa bersyukurnya saya apabila melihat dua anak saya selamat kerana mereka berada di belakang,” ujarnya.

Kedua-dua kanak-kanak itu kemudian dikeluarkan melalui but dengan bantuan orang ramai di lokasi.

Masih Trauma dengan Kejadian

“Kejadian itu berlaku terlalu pantas dan sehingga saat ini saya masih terbayang-bayang batang pokok itu, malah bunyi kaca pecah masih terngiang-ngiang. Saya masih trauma dengan kejadian itu. Anak-anak pula menangis sekejap selepas kejadian dan sekarang mereka sudah okay,” jelasnya.

Ros Ayu berkata, kereta yang masih dalam pembiayaan pinjaman itu mengalami kerosakan teruk dan akan dihantar ke bengkel untuk pemeriksaan lanjut.

Dalam kejadian sama, sebuah Perodua Ativa turut dihempap pokok tumbang berhampiran Dataran Sena.

Sumber: Kosmo

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!