Sebanyak 676 unit Rumah Dhuafa’ telah dibina secara percuma di seluruh Kelantan dari 2020 hingga 2025 dengan kos keseluruhan berjumlah RM33,309,400.
Menurut laporan Info Rakyat Kelantan, perkara itu dikongsikan Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Kelantan, YB Hilmi Abdullah menerusi media sosialnya.
Beliau sebelum itu mengadakan kunjungan bagi meninjau perkembangan pembinaan Rumah Dhuafa’ untuk dua penerima di Kampung Baru Pahi dan Kampung Hamzah, Kuala Krai.
Rumah untuk Pasangan OKU
Di Kampung Baru Pahi, rumah yang dibina khas untuk Abe Mat Hussin atau nama sebenarnya Mohd Hussain Haron, 59, kini sudah siap dicat.
“Alhamdulillah, saya berasa sangat bersyukur dan gembira selepas melihat Rumah Dhuafa' yang dibina khas untuk Abe Mat Hussin telah siap dicat dan kini hanya menunggu penyambungan bekalan air serta elektrik,” katanya.
Mohd Hussain dan isterinya merupakan pasangan orang kurang upaya (OKU) yang hidup sebatang kara tanpa anak.
Kehidupan mereka banyak bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan sumbangan daripada penduduk sekitar.
“Rumah ini hanya mempunyai satu bilik tidur, ruang tamu, dapur dan satu tandas. Rasanya sudah cukup selesa untuk mereka tinggal berdua,” katanya.
Hilmi turut memaklumkan hasrat untuk mengadakan solat hajat dan jamuan sebelum menyerahkan kunci rumah berkenaan kepada pasangan tersebut pada 15 Oktober depan.
Rumah Kedua Dijangka Siap Sebelum Akhir Disember
Beliau turut meninjau pembinaan Rumah Dhuafa’ untuk Imran atau Asrul Imran Abdullah, 46, di Kampung Hamzah.
Rumah berkenaan kini hampir siap dan dijangka dapat disiapkan sebelum berakhir Disember 2026 untuk penyerahan kunci pemilikan kosong.
“Walau bagaimanapun, inilah lot tanah yang dimiliki oleh Encik Imran untuk membina kehidupan berkeluarga yang mawaddah, sakinah dan rahmah,” katanya.
Empat Unit bagi Setiap DUN Setahun
Menurut Hilmi, setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) menerima peruntukan untuk membina empat unit Rumah Dhuafa’ setahun dengan nilai RM65,000 bagi setiap unit.
Jumlah itu membolehkan sebanyak 180 unit Rumah Dhuafa’ dibina setiap tahun di seluruh Kelantan.
Syarat utama permohonan ialah pemohon mesti memiliki tanah sendiri dan mempunyai ahli keluarga yang ramai, kecuali bagi pemohon dalam kalangan OKU.
Selain Rumah Dhuafa’, bantuan kediaman untuk golongan asnaf turut disediakan menerusi Rumah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) serta rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) oleh Kerajaan Persekutuan.
Rumah Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) pula melibatkan pinjaman dan bayaran ansuran bulanan dengan subsidi sebanyak 30 peratus daripada nilai rumah.
Bagi Jajahan Kuala Krai, usaha mencari tanah yang sesuai untuk pembinaan rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) juga sedang dilaksanakan.
Sumber: inforakyat.kelantan.my
