Kelantan kehilangan seorang anak kelahiran Kota Bharu, Allahyarham Dr Ainul Baraah Kamarudin yang meninggal dunia ketika menjalankan tugas menerusi perkhidmatan doktor udara (FDS) untuk masyarakat di pedalaman Sarawak.
Menurut laporan Bernama, Allahyarham merupakan antara lima individu yang terkorban selepas helikopter BO-105 yang mereka naiki terhempas berhampiran Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Long Lellang, Ulu Baram.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, pemergian Allahyarham amat menyayat hati kerana beliau meninggal dunia ketika sedang membawa rawatan dan harapan kepada masyarakat yang memerlukan.
“Allahyarham telah mengabdikan ilmu dan khidmatnya jauh di pedalaman demi kemanusiaan. Pemergiannya meninggalkan kehilangan buat Kelantan, yang kehilangan seorang anak yang telah menabur bakti jauh dari tanah kelahirannya.
“Salam takziah buat seluruh keluarga mangsa terlibat. Semoga Allah SWT merahmati Allahyarham, menerima segala khidmat baktinya sebagai amal soleh dan menempatkannya bersama para solihin. Al-Fatihah,” katanya menerusi hantaran di Facebook malam tadi.
Helikopter Terhempas Ketika Operasi FDS
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) memaklumkan helikopter berkenaan terhempas berhampiran STOLport Long Lellang yang terletak di Ulu Baram, kira-kira 929 kilometer dari Kuching.
Menurut CAAM, helikopter itu sedang menjalankan operasi FDS ketika kejadian.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dilaporkan berkata, helikopter yang berlepas dari Miri itu dikendalikan seorang juruterbang.
Ia turut membawa seorang pegawai perubatan, seorang penolong pegawai perubatan (PPP) dan dua jururawat yang sedang menjalankan tugas rasmi.
Residen Bahagian Miri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri, Galong Luang mengesahkan kesemua lima individu di dalam helikopter berkenaan meninggal dunia.
Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 3.40 petang semalam.
Sumber: Bernama
