Empat individu cedera dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Jalan Baru, Wakaf Bharu, Tumpat pada Isnin.
Menurut laporan Harian Metro, kejadian kira-kira jam 2 petang itu berlaku apabila sebuah Honda HR-V yang dipandu seorang lelaki terbabas sebelum merempuh Perodua Axia dan Toyota Vios.
Honda HR-V berkenaan kemudian berpusing beberapa kali sebelum merempuh sebuah Perodua Alza yang diparkir serta pagar rumah di tepi jalan.
Sebuah Proton Saga FLX turut mengalami kerosakan pada bahagian belakang selepas dihempap tayar ganti Honda HR-V yang terpelanting dalam kemalangan itu.
Terdengar Bunyi Brek Ditekan Lama
Pemilik rumah berkenaan, Teo Hwee Shean, 60, berkata, dia berada di tingkat atas rumah dua tingkatnya sebelum terdengar bunyi brek ditekan dalam tempoh yang lama.
Dia kemudian menjenguk keluar dan melihat sebuah kereta dari arah jejambat merempuh dua kenderaan lain.
“Honda HR-V itu kemudiannya berpusing tiga kali sebelum menghala tepi rumah saya dan merempuh Perodua Alza milik orang lain yang diparkir dan pagar rumah turut dirempuh.
“Tidak lama selepas itu keluar asap dari kedua-dua kenderaan menyebabkan saya segera membawa keluar kereta saya yang diparkir dalam garaj kerana bimbang berlaku letupan,” katanya.
Pemandu Honda HR-V berjaya keluar melalui bahagian penumpang hadapan dan difahamkan hanya mengalami kecederaan ringan.
Beberapa mangsa lain pula dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu.
Kerugian Pagar Dianggarkan RM5,000
Hwee Shean berkata, kemalangan boleh dikatakan berlaku hampir setiap hari di jalan berkenaan, namun sebelum ini tidak pernah membabitkan rumahnya.
“Kali ini yang agak teruk sebab babitkan banyak kereta dan ada yang cedera, biasanya hanya kemalangan biasa sahaja.
“Nasib baik kerosakan hanya membabitkan pagar rumah saya sahaja namun kerugian dianggarkan kira-kira RM5,000,” katanya.
Sumber: Harian Metro
