Syafiq kembali bersekolah, nekad terus menjaja sebelah petang

TUMPAT – “Alhamdulillah, Syafiq akan kembali bersekolah minggu depan, tetapi dia juga mahu terus menjaja telur puyuh rebus untuk menyara keluarga,” kata Salama Muda, 44, ibu kepada Muhammad Adib Syafiq Wahid yang kisahnya tular baru-baru ini.

Kanak-kanak berusia 11 tahun itu sebelum ini terpaksa berhenti sekolah dan menjaja telur puyuh rebus di sekitar Pantai Geting bagi membantu ibunya menyara empat beradik selepas bapanya ditahan pada April lalu di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Menurut Salama, anak ketiganya itu nekad mahu terus bekerja pada waktu petang selepas pulang dari sekolah nanti bagi memastikan keluarga mereka masih mempunyai pendapatan.

“Saya memang berasa bersalah sebagai ibu bila anak sekecil itu terpaksa memikul tanggungjawab besar, tapi kami tiada pilihan. Anak sulung bekerja di kedai makan di Pasir Mas, anak kedua berumur 15 tahun, dan dua lagi masih kecil, masing-masing dua dan empat tahun,” katanya ketika ditemui di Pantai Geting.

Beliau berkata, beberapa hari lalu, wakil Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tumpat datang ke rumah dan memaklumkan akan menguruskan semula hal persekolahan Syafiq.

“Lega rasanya bila anak dapat kembali ke sekolah selepas tiga bulan berhenti. Selama ini, Syafiq yang banyak membantu kerana saya perlu jaga dua anak kecil dan kami pula tak ada kenderaan,” katanya.

Semalam, media melaporkan kisah keluarga Salama yang bergantung pada Syafiq untuk menjaja telur puyuh rebus setiap hari bagi menampung hidup, sehingga menarik perhatian ramai pihak yang tampil menghulurkan bantuan.

BACA: Kanak-kanak 11 tahun terpaksa berhenti sekolah, jaja telur puyuh bantu sara keluarga

Katanya, selepas kisah mereka tular, pelbagai pihak datang membantu termasuk menyumbangkan motosikal terpakai untuk kegunaan harian serta sebuah basikal baharu buat Syafiq daripada badan bukan kerajaan (NGO) Cempaka Merah Asnaf Society.

Bantuan turut disampaikan oleh pengerusinya, Che Norhayati Mohamed, bersama sumbangan wang zakat, barangan makanan serta pakaian untuk kegunaan sekeluarga.

Sementara itu, Syafiq meluahkan rasa syukur kerana tidak lagi perlu berjalan kaki sejauh lebih dua kilometer setiap hari untuk menjaja telur puyuh rebus.



“Rasa seronok sebab tak perlu penat berjalan lagi. Sekarang saya boleh guna basikal, nanti nak pergi sekolah pun senang. Tapi saya tetap nak terus jual telur puyuh lepas balik sekolah. Ibu pun boleh ikut sebab dah ada motosikal,” katanya tersenyum.

#KelantanDaily
Sumber: Harian Metro, Berita Harian

TERKINI

Saifuddin Dedah 5 Daerah Catat Penyalahgunaan Dadah Tertinggi Dalam Negara
|
Penyalahgunaan dadah sintetik kini menjadi ancaman terbesar negara apabila…
Kereta Dah Jumpa, Nor Afiza Masih Belum Ditemui Sejak 16 Jun
|
Seorang wanita berusia 41 tahun yang dilaporkan hilang sejak…
Stephen Chow Kembali Dengan “Kung Fu Soccer” Julai Ini
|
Pengarah dan pelakon terkenal Hong Kong, Stephen Chow dilaporkan…
Bangladesh Tolak Permintaan PBB Sedia Lebih Banyak Tanah Untuk Pelarian Rohingya
|
Bangladesh menolak permintaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menyediakan…
KRW Sertai Piala FA Golok, 64 Pasukan Dari Malaysia Dan Thailand Bakal Berentap
|
Kelantan Red Warrior FC (KRWFC) menerima jemputan menyertai kejohanan…
Majlis Daerah Ketereh Baiki Bacaan Surah Dan Solat Kakitangan
|
Majlis Daerah Ketereh - Perbandaran Islam (MDKPI) menganjurkan Program…
Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!