Kanak-Kanak Berusia 9 Tahun Antara Enam Pendaki Dikhuatiri Hilang di Lojing

Enam individu termasuk dua kanak-kanak dari Selangor dikhuatiri hilang selepas gagal keluar mengikut jadual ketika melakukan pendakian merentas Gunung Trans Gerah.

Menurut laporan Sinar Harian, kumpulan tersebut terdiri daripada seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun, remaja perempuan berusia 13 tahun, ibu bapa mereka yang masing-masing berusia 39 tahun serta dua malim gunung berusia 49 dan 44 tahun.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, kumpulan itu memasuki laluan pendakian melalui Pos Dakoh, Lojing pada 29 Ogos lalu dengan menggunakan khidmat dua malim gunung berlesen.

Mereka dijadualkan keluar melalui Pos Kemar, Perak pada 3 September, namun gagal berbuat demikian.

“Kami menerima laporan daripada ahli keluarga di Selangor pada Sabtu selepas mereka gagal keluar dari laluan pendakian mengikut jadual.

“Hasil semakan mendapati hubungan terakhir dengan kumpulan itu adalah pada 1 September lalu apabila mereka memaklumkan berada di kawasan hutan Perak dan masih meneruskan perjalanan sebelum gagal dihubungi,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Dipercayai sudah melepasi sempadan Kelantan

Menurut Choon Foo, perjalanan melalui laluan yang dirancang lazimnya mengambil masa antara empat hingga lima hari.

Polis kini berhubung dengan pihak berkuasa Perak bagi mengesahkan lokasi terakhir kumpulan tersebut kerana mereka dipercayai sudah melepasi sempadan Kelantan.

“Kami sedang menyelaras dengan pihak berkuasa di Perak bagi mengatur gerakan operasi dan menyelamat,” katanya.

Polis juga tidak menolak kemungkinan telefon bimbit yang dibawa kumpulan berkenaan kehabisan bateri sehingga menyebabkan kesemua mereka gagal dihubungi.

Sumber: Sinar Harian

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!