Hasrat dua rakan untuk menyertai konvoi berbasikal ke Thailand pada minggu depan tidak kesampaian apabila mereka maut dalam kemalangan di Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai dekat Ketereh, hari ini.
Menurut laporan Kosmo, kejadian berlaku kira-kira pukul 9.30 pagi di Kilometer 18 lebuh raya berkenaan ketika kedua-dua mangsa sedang menjalani sesi latihan berbasikal.
Mangsa dikenali sebagai Zamri Rismawadi Mahmat, 50, manakala rakannya berusia dalam lingkungan 40-an.
Kedua-dua mereka meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada anggota badan selepas basikal yang ditunggang dirempuh sebuah kereta.
Kereta berkenaan dipercayai terbabas ketika sedang memotong sebuah kenderaan lain sebelum merempuh kedua-dua mangsa.
Abang terkilan tidak sempat bertemu
Abang kepada Allahyarham Zamri Rismawadi, Zamri Risman, 52, berkata, dia menerima maklumat mengenai kemalangan yang menimpa adiknya kira-kira pukul 10.45 pagi.
Ketika itu, Zamri Risman yang merupakan perwakilan dari Selangor sedang menghadiri Majlis Perasmian Muktamar PAS di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan, Pengkalan Chepa.
Dia kemudiannya terus bergegas ke lokasi kejadian, namun jenazah adiknya sudah dibawa oleh pihak polis ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu.
“Saya terkilan kerana tidak sempat berjumpa dengannya kerana baru sampai ke Kelantan malam tadi. Saya memang berhajat untuk bertemu Allahyarham Zamri Rismawadi kerana kami sudah dua bulan tidak bertemu mata.
“Difahamkan, arwah adik sedang dalam sesi latihan menunggang basikal sebagai persiapan untuk menyertai konvoi berbasikal ke Thailand pada minggu depan,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.
Menurut Zamri Risman, adiknya bekerja di HRPZ II dan tinggal bersendirian di rumahnya di Kampung Rupek, Pasir Hor selepas berpisah dengan isterinya.
Sumber: Kosmo
