Remaja 15 Tahun Maut Terkena Renjatan Elektrik Selepas Pegang Tiang Lampu

Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun meninggal dunia selepas terkena renjatan elektrik ketika memegang sebatang tiang lampu di Taman Pancaran, Bestari Jaya, malam Ahad.

Menurut laporan Bernama, polis menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 10.32 malam.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Azaharudin Tajuddin berkata, panggilan tersebut memaklumkan bahawa seorang lelaki ditemukan tidak sedarkan diri dan disyaki sudah meninggal dunia.

“Bilik Gerakan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuala Selangor menerima panggilan, memaklumkan seorang lelaki tidak sedarkan diri dan disyaki meninggal dunia.

“Siasatan mendapati mangsa dikatakan sedang berehat ketika bermain futsal di taman perumahan itu, sebelum memegang tiang lampu yang dipercayai mempunyai arus elektrik hingga menyebabkan dia rebah,” katanya dalam kenyataan.

Tiada Unsur Jenayah

Azaharudin berkata, pemeriksaan terhadap tubuh mangsa tidak menemukan sebarang unsur jenayah.

Kes berkenaan disiasat sebagai laporan mati mengejut (SDR).

“Remaja itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Proses bedah siasat telah dijalankan dan punca kematian adalah konsisten dengan renjatan elektrik,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi Bilik Gerakan IPD Kuala Selangor melalui talian 03-3289 1222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Sumber: Bernama

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!