Seorang pemandu treler ditemukan maut selepas kenderaan berat yang dipandunya dipercayai terbabas sebelum terjunam ke dalam gaung sedalam kira-kira 20 meter di Jalan Gua Musang-Kuala Krai pada Isnin.
Kejadian berhampiran kawasan ladang itu disedari oleh tiga kakitangan Telekom Malaysia (TM) yang datang untuk membaiki kabel telekomunikasi yang dilaporkan mengalami kerosakan sejak malam sebelumnya.
Menurut laporan Sinar Harian, Mohammad Luqman Faiz Mohd Zailani, 22, bersama dua rakannya tiba di kawasan berkenaan sekitar jam 8 pagi berdasarkan kedudukan kilometer yang diberikan melalui sistem.
Kedudukan treler yang jauh di bawah gaung menyebabkan mereka pada awalnya tidak menyedari terdapat sebuah kenderaan yang terbabas di situ.
“Pada mulanya kami tidak nampak treler tersebut. Selepas membuat pemeriksaan di kawasan itu, kami terlihat kenderaan berkenaan dan menyangka tiada sesiapa di dalamnya.
“Namun apabila kami menghampiri dan memeriksa keadaan treler, kami terkejut apabila ternampak tangan terjuntai sebelum segera menghubungi talian kecemasan untuk mendapatkan bantuan,” katanya.
Menggigil selepas terlihat tangan mangsa
Luqman berkata, mereka menerima laporan mengenai kerosakan kabel melalui sistem sekitar jam 8 malam Ahad sebelum datang ke lokasi pada keesokan paginya.
“Saya sampai menggigil dan tidak boleh bercakap kerana terkejut apabila nampak ada tangan yang terjuntai dari dalam treler itu.
“Kami menerima laporan kerosakan melalui sistem sekitar jam 8 malam Ahad dan datang ke lokasi berdasarkan kedudukan kilometer yang diberikan,” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, dia dan dua rakannya hanya mampu berdiam diri selepas menyedari terdapat seorang mangsa yang sudah meninggal dunia di dalam kenderaan terbabit.
“Kami bertiga hanya mampu diam. Tangan pun menggeletar kerana tidak pernah berdepan situasi seperti ini sebelum ini,” katanya.
Berdasarkan maklumat yang diperoleh di lokasi, mangsa dipercayai berusia dalam lingkungan 30-an dan berasal dari Kedah.
Mangsa tersepit dalam kenderaan
Menurut laporan Berita Harian, Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 9.11 pagi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Penolong Kanan Penguasa Bomba Muhammad Azrul Izzham Zulkifli berkata, tujuh anggota bersama tiga jentera tiba di lokasi pada jam 9.58 pagi. Lokasi kejadian terletak kira-kira 65 kilometer dari balai.
“Kemalangan membabitkan lori kontena terbabas dan jatuh gaung sedalam 20 meter. Kemalangan mengakibatkan pemandu lori tersepit dan disahkan meninggal dunia di lokasi oleh kakitangan perubatan.
“Anggota bomba mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas, selain bantuan dari kren pihak swasta. Mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Pegawai Bomba Kanan II Nurhidir Kasim berkata, pemeriksaan mendapati mangsa tersepit di dalam kenderaan.
“Pemeriksaan mendapati mangsa tersepit di dalam kenderaan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Operasi mengeluarkan mangsa tamat sepenuhnya pada jam 12.29 tengah hari.
Sumber: Sinar Harian, Berita Harian
