Kawat berduri yang dipasang di enam pangkalan haram sekitar Rantau Panjang dikesan telah dipotong sejak Januari lalu.
Perbuatan itu dipercayai dilakukan individu yang mempunyai kaitan dengan kegiatan penyeludupan dan pergerakan rentas sempadan secara haram.
Menurut laporan Bernama, enam lokasi terbabit ialah pangkalan haram ‘Kak Mah’, ‘Abe Li Posmen’, ‘Salleh’, ‘Pok Mat Lubok Gong’, ‘Abe Yee’ dan ‘Adam’.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, polis masih menjalankan siasatan dan belum membuat sebarang tangkapan.
“Kita masih menjalankan siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat dan setakat ini belum ada tangkapan. Kita akan kesan siapa yang terlibat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Kempen Jihad Dadah bersama kelab motosikal Brotherhood 2Nation Malaysia-Thailand.
Kekang penyeludupan dan pergerakan haram
Mohd Yusoff berkata, pemasangan kawat berduri atau wayar concertina merupakan antara langkah kawalan keselamatan di sempadan.
Ia bertujuan mengekang kegiatan penyeludupan serta pergerakan keluar dan masuk negara menggunakan laluan tidak sah.
Fasa awal pemasangan kawat berduri itu melibatkan jajaran sepanjang kira-kira 1.5 kilometer dari kawasan Rantau Panjang hingga Pangkalan Ibrahim Pencen.
Mohon tambahan 2.5 kilometer
Polis turut mengemukakan permohonan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk menambah kira-kira 2.5 kilometer lagi kawat berduri di kawasan berkenaan.
“Permohonan sudah dibuat sejak kira-kira tiga bulan lepas dan kita masih menunggu keputusan,” katanya.
Kes pemotongan kawat berduri itu disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.
Sumber: Bernama
