Letupan Bom di Selatan Thailand, Pergerakan di ICQS Rantau Panjang Menurun

Pergerakan keluar dan masuk di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang menurun selepas kejadian letupan bom, tembakan serta pembakaran bangunan di tiga wilayah Selatan Thailand pada Sabtu lalu.

Menurut laporan Bernama, sebanyak 3,298 pergerakan masuk ke Malaysia direkodkan dari Sabtu hingga Isnin, manakala pergerakan keluar berjumlah 2,969.

Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Rantau Panjang, Siti Khadijah Hamzah berkata, sebanyak 2,068 pergerakan masuk dicatatkan pada Sabtu.

Jumlah itu menurun kepada 1,230 bagi tempoh Ahad dan Isnin.

“Pergerakan keluar pula sebanyak 1,696 pada Sabtu dan menurun kepada 1,273 pada Ahad dan Isnin,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Penurunan berkenaan dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian keganasan yang berlaku serentak di 51 lokasi di Narathiwat, Pattani dan Yala pada Sabtu lalu.

ICQS Rantau Panjang kelihatan lengang

Tinjauan Bernama di ICQS Rantau Panjang mendapati kawasan itu lengang tanpa kesesakan kenderaan seperti yang lazim berlaku, termasuk ketika cuti umum.

Dalam keadaan biasa, kenderaan yang mahu memasuki Thailand boleh berbaris hampir satu kilometer, manakala jumlah pergerakan keluar masuk mencecah 5,000 orang setiap kali hujung minggu atau cuti umum.

Situasi semasa dipercayai berlaku apabila sebahagian rakyat Malaysia mengambil keputusan menangguhkan perjalanan ke Selatan Thailand bagi tujuan pelancongan, membeli-belah atau mengunjungi keluarga.

Sebelum ini, Narathiwat dikenakan perintah berkurung dari pukul 10.15 malam hingga 5 pagi selepas lebih 50 insiden dilaporkan berlaku di tiga wilayah berkenaan.

Insiden terbabit termasuk pengeboman, pembakaran pejabat kerajaan tempatan dan pembakaran tayar.

Letupan kuat dari arah Narathiwat turut menggegarkan kediaman dan mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk di sempadan Malaysia-Thailand.

Antara kawasan yang terjejas ialah Kampung Lubok Gong dan Kampung Tersang di Rantau Panjang, Pasir Mas.

Sumber: Bernama

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!