Seorang duda mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Machang pada Isnin atas pertuduhan menggunakan kekerasan untuk mencabul kehormatan seorang wanita dalam stor sebuah kilang di Kuala Krai.
Menurut laporan Utusan, tertuduh, Muhammad Zamri Abdullah, 24, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid.
Mengikut pertuduhan, pekerja kilang itu didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang wanita berusia 22 tahun dengan maksud mencabul kehormatannya.
Perbuatan tersebut dilakukan kira-kira jam 1.40 tengah hari pada 3 Ogos lalu di dalam stor sebuah kilang pengedaran makanan dan minuman di Jalan Stapunal Batu Jong, Kuala Krai.
Berdepan Penjara Sehingga 10 Tahun
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.
Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Hazim Aqiffullah Mohd Amran, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Norfaraliana Othman.
Pendakwaan Cadang Jaminan RM7,000
Ahmad Hazim mencadangkan jaminan sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu prosiding jatuh hukum.
Norfaraliana kemudian memohon mahkamah menetapkan jaminan yang tidak membebankan kerana tujuan ikat jamin adalah untuk memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah dan bukan sebagai satu bentuk hukuman.
“Tertuduh bekerja di sebuah kilang dengan pendapatan RM1,700 sebulan selain perlu menyara ibu bapa yang sudah uzur dan seorang anak berusia setahun enam bulan,” katanya.
Mahkamah menetapkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.
Dilarang Dekati dan Hubungi Mangsa
Mahkamah turut menetapkan syarat tambahan bahawa tertuduh atau ejennya dilarang menghampiri, menghubungi atau mengganggu mangsa serta mana-mana saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
Jumlah ikat jamin boleh dinaikkan atau dilucutkan sekiranya tertuduh gagal mematuhi syarat tersebut.
Mahkamah menetapkan 11 Ogos untuk prosiding jatuh hukum. Tertuduh dilaporkan tidak membayar jaminan yang ditetapkan.
Sumber: Utusan
