Kira-kira 34,000 akaun pengguna di empat jajahan di Kelantan dijangka mengalami gangguan bekalan air susulan kebocoran paip air mentah utama di Sungai Bagan yang menjejaskan operasi Loji Rawatan Air (LRA) Merbau Chondong, Machang.
Menurut laporan Sinar Harian, Jabatan Korporat Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) memaklumkan kebocoran melibatkan paip air mentah jenis Mild Steel (MS) bersaiz 600 milimeter, sekali gus menyebabkan loji berkenaan tidak dapat beroperasi pada kadar pengeluaran normal.
Gangguan bekalan air dijangka melibatkan pengguna di Machang, Pasir Puteh, Kota Bharu Selatan dan Kota Bharu Timur.
AKSB memaklumkan kerja-kerja pembaikan akan bermula pada jam 9 malam, Khamis dan dijangka mengambil masa antara 24 hingga 36 jam untuk disiapkan.
Bekalan air pula dijangka pulih secara berperingkat seawal petang Jumaat atau selewat-lewatnya pada Sabtu.
Bagi mengurangkan kesan gangguan, AKSB akan menggerakkan lori tangki air milik syarikat serta lori air kontrak bagi membantu pengguna yang terjejas sepanjang tempoh pembaikan dijalankan.
Selain itu, operator air dari beberapa negeri lain turut memberikan komitmen membantu penghantaran lori tangki air ke kawasan terjejas, terutama ke premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis, penjara dan asrama institusi pengajian tinggi.
AKSB turut memaklumkan bahawa pengguna telah dimaklumkan lebih awal menerusi sistem Infoblast AKSB Careline (PINTAS) di talian 15777.
Orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat terkini melalui laman sesawang rasmi, aplikasi MyAKSB serta platform media sosial rasmi AKSB.
Sumber: Sinar Harian
