Kelantan Roboh Premis Dan Tiga Rumah Haram Dibina Etnik Rohingya di Tanah Merah

Kerajaan Kelantan mengambil tindakan merobohkan sebuah premis dan tiga rumah kediaman yang dibina secara haram di atas tanah milik kerajaan di Pechong, Tanah Merah pada Selasa.

Menurut laporan Utusan Malaysia, tindakan itu dibuat selepas didapati struktur berkenaan didirikan tanpa kelulusan merancang atau kebenaran bertulis daripada pihak berkuasa di atas tanah milik Pesuruhjaya Tanah Kelantan (PTK).

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, kawasan itu diceroboh oleh pihak tidak bertanggungjawab sebelum membina beberapa struktur secara haram.

Katanya, keadaan menjadi lebih membimbangkan apabila premis tersebut kemudiannya disewakan kepada etnik Rohingya.

“Antara struktur yang dirobohkan ialah sebuah bangunan yang dijadikan sebagai pusat pengajian agama dan tiga buah rumah kediaman yang dibina tanpa kebenaran di atas tanah milik Pesuruhjaya Tanah Kelantan (PTK).

“Tindakan tegas ini diambil bagi membanteras kegiatan pencerobohan tanah kerajaan secara haram, selain membendung isu penempatan warga asing tanpa dokumen sah,” katanya ketika dihubungi.

Tiada Kompromi Terhadap Pencerobohan Tanah

Hilmi menegaskan kerajaan negeri tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menceroboh tanah kerajaan atau tanah rizab untuk tujuan pembangunan tanpa kebenaran.

Menurut beliau, tindakan tegas akan terus diambil terhadap individu yang memajukan atau menyewakan tanah kerajaan secara haram kepada warga asing.

Beliau berkata, usaha itu penting bagi memastikan tanah milik kerajaan tidak terus diceroboh serta mengelakkan penempatan warga asing tanpa dokumen sah daripada berkembang.

Sumber: Utusan Malaysia, MDTM

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!