KOTA BHARU – Seorang penganggur berusia 37 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak perempuan di Pantai Irama, Bachok pada 11 September lalu.
Tertuduh, Mohd Fariz Ibrahim, membuat pengakuan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nik Habri Muhamad.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak perempuan berumur enam tahun empat bulan di taman permainan Pantai Irama, pada jam 6.20 petang.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Faiz Fitri Mohamad, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Ahmad Faiz Fitri tidak mencadangkan sebarang jaminan terhadap tertuduh kerana kesalahan dianggap serius.
Mahkamah kemudian menetapkan 23 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki memakai kostum watak kartun ditahan selepas disyaki melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak perempuan berkenaan di taman permainan Pantai Irama. Kejadian itu turut dirakam orang awam yang berada di lokasi kejadian.
BACA JUGA: Lelaki berkostum kartun ditahan kes amang seksual kanak-kanak di Pantai Irama Bachok
#KelantanDaily
Sumber: Sinar Harian, Harian Metro
