Kelantan Red Warrior FC (KRW) dikatakan mungkin perlu menjalani penjenamaan semula (rebranding) bagi mengelakkan kekeliruan dengan Kelantan FC yang masih berdepan sekatan perpindahan pemain oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Perkara itu timbul selepas KRW diumumkan secara rasmi sebagai salah satu pasukan yang akan beraksi dalam Liga Super musim 2026/2027.
Isu sekatan tersebut sebenarnya bukan berpunca daripada tunggakan gaji melibatkan KRW, sebaliknya dikaitkan dengan tunggakan gaji pemain dan pegawai Kelantan FC yang mana pasukan tersebut sudah tidak aktif sejak 2023.
Difahamkan, penggunaan nama serta identiti yang hampir sama menyebabkan FIFA masih mengaitkan KRW dengan Kelantan FC walaupun kedua-duanya merupakan entiti yang berbeza.
Bermula Daripada Gerakan Selamatkan Kelantan
Bagi peminat bola sepak yang kurang mengikuti perkembangan di Kelantan, KRW sebenarnya lahir daripada Gerakan Selamatkan Kelantan (GSK).
Pada peringkat awal, GSK cuba mengambil alih Kelantan FC yang dimiliki oleh Norizam Tukiman atau lebih dikenali sebagai Zamsaham bagi menghidupkan semula legasi pasukan The Red Warriors.
Kelantan FC pula merupakan kelab yang mewarisi sejarah Kelantan FA selepas proses penswastaan oleh Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA).
Namun rundingan pengambilalihan tidak mencapai kata sepakat sebelum GSK mengambil keputusan menubuhkan kelab baharu pada penghujung tahun 2024 dengan nama Kelantan Red Warrior FC.
KRW kemudian menyertai Liga A1 pada musim 2025.
Identiti Hampir Sama Jadi Perdebatan
Penggunaan nama "Red Warrior" serta logo yang menyerupai era kegemilangan Kelantan FA dikatakan menjadi antara faktor yang menyebabkan kekeliruan terhadap identiti kelab.
Malah, isu sekatan perpindahan pemain oleh FIFA bukan kali pertama dikaitkan dengan KRW.
Sebelum ini, pemilik asal KRW yang turut mempunyai pegangan saham dalam Kelantan FC terpaksa berundur bagi memberi laluan kepada pemilik baharu supaya kelab itu dapat terus beraksi.
Kini timbul pula spekulasi bahawa penjenamaan semula mungkin menjadi salah satu langkah bagi menyelesaikan isu berkenaan secara menyeluruh.
Perkara itu turut diperkatakan apabila pegawai pasukan KRW dilaporkan memberi bayangan secara tidak rasmi ketika berinteraksi dengan penyokong bahawa rebranding mungkin menjadi antara pilihan untuk menyelesaikan isu FIFA.
Tiada Pengesahan Rasmi Setakat Ini
Bagaimanapun, sehingga kini tiada sebarang kenyataan rasmi daripada pihak Kelantan Red Warrior FC berhubung cadangan penjenamaan semula tersebut.
Sekiranya langkah itu menjadi pilihan, persoalan terbesar, adakah penyokong sanggup menerima pengguguran identiti "Red Warrior" yang selama ini cukup sinonim dengan bola sepak Kelantan. #KelantanDaily
