Seorang duda yang mempunyai dua anak direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan selepas disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah jenis pil kuda di Kampung Kubang Batang, Tumpat.
Perintah reman terhadap suspek berusia 35 tahun itu dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Tumpat di hadapan Majistret Wan Ashrul Afham Mohamad Azmi.
Perintah reman tersebut berkuat kuasa bermula Isnin sehingga Sabtu ini.
Difahamkan, suspek yang bekerja sebagai penarik kereta ditahan kira-kira jam 3.30 petang Ahad hasil maklumat awam yang diterima Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat.
Dalam serbuan itu, sepasukan anggota polis mengesan sebuah Perodua Axia yang berada dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan sebelum menjalankan pemeriksaan.
Hasil pemeriksaan lanjut menemui kira-kira 610 gram pil kuda bersamaan 6,100 biji dengan anggaran nilai rampasan sekitar RM61,000.
Ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap suspek didapati negatif daripada sebarang penyalahgunaan dadah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan, jika tidak dijatuhi hukuman mati, pesalah boleh dikenakan sebatan tidak kurang daripada 12 kali sekiranya disabitkan kesalahan.
Sumber: Sinar Harian
