Perjalanan dua lelaki ke sebuah majlis perkahwinan di Kelantan berakhir di sekatan jalan raya apabila mereka ditahan selepas anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) menemui cecair disyaki air ketum di dalam kenderaan yang dinaiki.
Kedua-dua mereka yang berusia 20 dan 29 tahun ditahan menerusi Op Taring Wawasan Kelantan di SJR Lalang Pepuyu, Tanah Merah kira-kira jam 10.30 malam pada Sabtu.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, sebuah Perodua Aruz yang dinaiki mereka ditahan kerana berada dalam keadaan mencurigakan.
Pemeriksaan lanjut menemukan satu beg hitam dan sebotol cecair kehijauan yang disyaki air ketum dengan anggaran isipadu satu liter bernilai RM30.
Ketika disoal siasat, kedua-dua lelaki itu memaklumkan mereka sedang menuju ke Kelantan untuk menghadiri majlis perkahwinan, manakala kereta yang digunakan dipinjam daripada abang salah seorang daripada mereka.
Kes kini disiasat untuk tindakan lanjut.
Sumber: Berita Harian
