Seekor kucing bernama Mika mencuri perhatian pengguna media sosial selepas menjadi penghuni sebuah hotel kucing di Kelantan selama tiga tahun enam bulan dengan jumlah bil keseluruhan mencecah RM21,500.
Perkara itu dikongsikan oleh pemilik hotel kucing berkenaan, Areyurahim menerusi satu hantaran di Threads yang kemudian tular dan mendapat pelbagai reaksi daripada netizen.
Menurutnya, Mika ditempatkan di hotel kucing tersebut kerana pemiliknya perlu bekerja di Kuala Lumpur dan jarang dapat pulang ke Kelantan.
Tidak Pernah Culasi Bayaran Bulanan
Areyurahim berkata, sepanjang tempoh tiga tahun enam bulan itu, pemilik Mika tidak pernah gagal menjelaskan bayaran bulanan bagi penjagaan haiwan kesayangannya.
“Kami kakak-kakak staf sedih semalam sebab penghuni hotel paling lama telah balik pada tuan dia.
“Jumlah bil hotel keseluruhan RM21,500. Pemilik hotel tinggalkan selama tiga tahun enam bulan di hotel kucing Pusak Pethouse Kelantan, bil hotel tak pernah tinggal bayar setiap bulan,” katanya.
Menurutnya, pemilik Mika juga akan melawat kucing tersebut setiap kali pulang ke Kelantan.
Berat Mika Naik Dari 4kg Ke 7kg
Menjawab pertanyaan pengguna media sosial lain, Areyurahim memaklumkan Mika telah dimandulkan dan berada dalam keadaan baik sepanjang berada di hotel tersebut.
Malah, berat badan Mika juga meningkat daripada empat kilogram kepada tujuh kilogram selepas lebih tiga tahun berada di bawah jagaan hotel kucing berkenaan.
“Masa datang berat Mika dah 4 kilogram, tapi lebih tiga tahun lebih, berat Mika 7 kilogram,” katanya.
Netizen Puji Sikap Bertanggungjawab Pemilik
Perkongsian itu menerima pelbagai reaksi positif daripada netizen yang memuji tindakan pemilik Mika kerana tetap memastikan kucing kesayangannya dijaga dengan baik walaupun berdepan kekangan kerja.
Ramai menyifatkan tindakan menghantar Mika ke hotel kucing sebagai langkah lebih bertanggungjawab berbanding membiarkan atau membuang haiwan peliharaan apabila tidak mampu menjaganya sendiri.
Malah, ada yang berseloroh menyifatkan Mika seperti berada di "boarding school" kerana mempunyai tempat tinggal yang selesa dan rakan untuk bermain sepanjang tempoh tersebut.
Sumber: Threads | @Areyurahim, Kosmo
SHARE:
