Remaja 15 Tahun Dipukul Dengan Kayu Sebelum Dirogol Dan Di Samun Di Tumpat

Seorang remaja perempuan berusia 15 tahun berdepan detik hitam apabila dipercayai dipukul, disamun dan dirogol oleh seorang lelaki tidak dikenali ketika keluar beriadah di kawasan Palekbang, Tumpat sempena cuti Awal Muharram pada Rabu.

Mangsa ditemui orang awam dalam keadaan separuh sedar di kawasan semak berhampiran tali air di Kampung Mesira kira-kira jam 11 pagi sebelum dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd Khairi Shafie berkata, pihaknya menerima laporan daripada bapa mangsa yang memaklumkan anak perempuannya tidak pulang ke rumah selepas keluar beriadah pada awal pagi.

Menurut beliau, bapa mangsa mula mencarinya sekitar jam 10 pagi sebelum menerima panggilan daripada seorang kenalan yang memaklumkan remaja itu telah ditemui di kawasan semak berhampiran lokasi kejadian.

Ditemui Dalam Keadaan Separuh Sedar

Mohd Khairi berkata, sebaik tiba di lokasi, bapa mangsa mendapati anaknya berada dalam keadaan separuh sedar dan mengalami kecederaan pada muka, kepala serta beberapa bahagian badan.

“Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai dipukul menggunakan sebatang kayu oleh suspek yang tidak dikenali.

“Mangsa juga dipercayai telah dirogol di tempat kejadian dan telefon bimbit miliknya turut dilarikan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Tumpat untuk rawatan awal sebelum dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu bagi rawatan lanjut.

Terpisah Dengan Adik Ketika Beriadah

Sementara itu, nenek mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Rokiah, 74, berkata cucunya keluar beriadah bersama adik lelaki berusia 10 tahun pada awal pagi hari kejadian.

Menurutnya, kedua-dua beradik itu dipercayai terpisah apabila cucu lelakinya berasa penat dan tidak mampu lagi mengikut langkah kakaknya.

“Dia beritahu saya dia tertinggal di belakang dan mencari kakaknya tetapi tidak jumpa.

“Dia menyangka kakaknya sudah pulang ke rumah lalu dia pun balik,” katanya.

Rokiah berkata, seluruh keluarga terkejut apabila dimaklumkan mengenai kejadian tersebut dan berharap individu yang bertanggungjawab dapat segera ditangkap serta dihadapkan ke muka pengadilan.

Polis Mohon Bantuan Orang Ramai

Polis kini menjalankan siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana samun hingga menyebabkan kecederaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Zulazri di talian 011-11486922.

Sumber: Berita Harian

SHARE:

TERKINI

Beza Usia 37 Tahun, Suami Akui Isterinya Adalah Cinta Pertama
|
Seorang lelaki berusia 27 tahun mengakui tidak pernah menyesal…
Tampar Polis Selepas Diminta Tunjuk IC, Warga Emas Dipenjara Sebulan
|
Seorang warga emas dipenjara sebulan selepas mengaku bersalah di…
Penyebaran Agama Islam di UPSI ‘ berat sebelah ‘ – Ronnie Liu
|
Bekas Exco Kerajaan Negeri Selangor, Ronnie Liu Tian Khiew…
Iran Tutup Semula Selat Hormuz Susulan Serangan Maut Israel Di Lubnan
|
Iran mengumumkan penutupan semula Selat Hormuz susulan serangan Israel…
Dua Sepupu Remaja Hilang Selepas Keluar Bersiar-Siar Di Kota Bharu
|
Dua remaja perempuan yang juga pasangan sepupu dilaporkan hilang…
Sikap Tamak Punca Pelabur Kelantan Rugi RM5.18 Juta Terperdaya Sindiket Penipuan
|
Sikap tamak dan keinginan untuk meraih keuntungan lumayan dalam…
Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!