KUALA TERENGGANU – Seorang wanita maut selepas motosikal yang ditungganginya merempuh seekor kerbau di Jalan Kampung Alor Parit, awal pagi Ahad.
Mangsa, Siti Nur Zainatul Akmal Hanim Muhammad Hanipah, 20, dari Bukit Payong, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada anggota badan.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 3.10 pagi ketika mangsa menunggang motosikal jenis Honda Beat dari arah bandar Kuala Terengganu menuju ke rumahnya di Kampung Undang.
“Hasil siasatan awal mendapati motosikal mangsa melanggar seekor binatang dipercayai kerbau yang berada di tengah jalan sebelum dia terjatuh.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Beliau berkata, motosikal tersebut mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan manakala jalan lokasi kejadian merupakan laluan dua hala tanpa lampu jalan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
#KelantanDaily
Sumber: Sinar Harian
