70 Premis Di Kedah Didakwa Jadi Sekolah Anak Rohingya

Sekurang-kurangnya 70 premis membabitkan kediaman dan rumah kedai di seluruh Kedah didakwa digunakan sebagai sekolah bagi menyediakan pendidikan khusus kepada anak-anak etnik Rohingya.

Perkara itu didedahkan Pengerusi Pertubuhan Aman Kebajikan Ummah (PAKU) Malaysia yang juga Timbalan Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kedah, Amirul Syahir Musa.

Menurutnya, daripada jumlah tersebut, sembilan sekolah persendirian dikesan beroperasi di daerah Kota Setar termasuk kawasan Kuala Kedah, manakala Kuala Muda dan Langkawi turut mencatat jumlah yang tinggi.

Dakwa Tidak Ikut Sistem Pendidikan Kebangsaan

Amirul Syahir berkata, hasil pemerhatiannya mendapati silibus yang digunakan tidak mengikut sistem pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Saya lihat silibus pembelajaran tidak mengikut sistem KPM dan jika diikutkan sudah tentu ia melanggar undang-undang di bawah Akta Pendidikan 1996.

“Sekolah tidak boleh dibuka sewenang-wenangnya kerana perlu mematuhi prosedur tertentu. Apa pun alasannya, sekolah ini dibuka secara haram dan menimbulkan persoalan tentang apa yang sebenarnya diajar kepada pelajar,” katanya.

Beliau turut mendakwa terdapat badan bukan kerajaan (NGO) serta individu tertentu yang membantu mengendalikan sekolah berkenaan atas alasan menyediakan pendidikan kepada komuniti Rohingya.

Yuran Digunakan Tampung Operasi Sekolah

Sementara itu, seorang guru tempatan yang hanya mahu dikenali sebagai Ina mengesahkan sebuah sekolah persendirian untuk anak Rohingya yang diusahakannya kini mempunyai kira-kira 40 murid.

Menurut wanita berusia lingkungan 30-an itu, murid-murid mempelajari Bahasa Melayu, Matematik, Bahasa Inggeris, lukisan serta pendidikan agama.

Katanya, ibu bapa dikenakan yuran antara RM100 hingga RM120 sebulan yang digunakan bagi membayar bil utiliti, sewa premis dan kos operasi sekolah.

“Ada yang tidak mampu membayar yuran tetapi masih dibenarkan hadir ke sekolah seperti biasa. Kebanyakan murid berusia antara enam hingga 12 tahun,” katanya.

Beliau berkata, gaji guru juga bergantung sepenuhnya kepada kutipan yuran yang diterima setiap bulan.

Penduduk Luah Kebimbangan

Dalam pada itu, sebahagian penduduk tempatan melahirkan kebimbangan terhadap pertambahan komuniti Rohingya di beberapa kawasan sekitar Alor Setar termasuk Taman Bunga Raya, Tongkang Yard dan Jalan Pegawai.

Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Man, 43, berkata jumlah warga Rohingya yang menyewa di kawasan tersebut semakin meningkat berbanding beberapa tahun lalu.

“Ada yang sudah lama tinggal di sini, fasih berbahasa Melayu dan hidup seperti penduduk tempatan.

“Kami tidak selesa apabila ada yang menunggang motosikal atau memandu kereta tanpa lesen seolah-olah tiada tindakan dikenakan,” katanya.

Sumber: Buletin TV3

SHARE:

TERKINI

70 Premis Di Kedah Didakwa Jadi Sekolah Anak Rohingya
|
Sekurang-kurangnya 70 premis membabitkan kediaman dan rumah kedai di…
Empat Sekeluarga Maut, Treler Hilang Kawalan Sebelum Hempap Kereta
|
Kemalangan maut yang meragut empat nyawa termasuk seorang bayi…
Tiada CCTV, Bomba Guna Kaedah Saintifik Jejak Punca Kebakaran Di Gok Kapur
|
Ketiadaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian…
Tekong Darat Lari Tinggal 14 PATI Myanmar Selepas Diserbu APMM Di Tumpat
|
Tindakan seorang tekong darat meninggalkan 14 pendatang asing tanpa…
Peniaga Ayam Tipu Timbangan, KPDN Kelantan Terima 29 Aduan
|
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN)…
Ops Tiris 4.0 Kelantan Rekod 104 Kes, Rampasan Hampir RM2 Juta
|
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN)…
Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!