Dua lelaki maut selepas tertimbus dalam runtuhan tebing tanah setinggi kira-kira dua meter dipercayai ketika menjalankan aktiviti melombong emas di kawasan anak sungai Ladang Sawit Jerimbong, Jeli pada Rabu malam.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.20 malam itu, seorang lagi mangsa dilaporkan terselamat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jeli, Penolong Penguasa Bomba Adni Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian mangsa tertimbus tanah sebelum anggota dikejarkan ke lokasi.
Laluan Sempit Sukarkan Operasi
Menurut beliau, operasi menyelamat berdepan kesukaran apabila jentera bomba tidak dapat memasuki kawasan ladang kerana laluan sempit.
Katanya, pasukan penyelamat terpaksa menggunakan kenderaan pacuan empat roda jenis Hilux untuk masuk ke lokasi kejadian.
“Operasi pencarian dimulakan pada jam 9.20 malam dan didapati benar terdapat dua mangsa tertimbus akibat runtuhan tebing tanah setinggi dua meter di kawasan anak sungai,” katanya.
Dua Mangsa Disahkan Meninggal Dunia
Mangsa pertama berjaya ditemukan pada jam 9.25 malam manakala mangsa kedua ditemui pada jam 11.18 malam.
Kedua-dua mangsa lelaki yang berusia lingkungan 30-an disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Operasi menyelamat ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.40 malam.
Menurut Adni, seramai sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jeli terlibat dalam operasi tersebut dengan bantuan sebuah jentera FRT, EMRS dan RRV.
Sumber: Sinar Harian
SHARE:
