Seorang mekanik menemui ajal dalam kejadian tragis apabila dirempuh sebuah lori ketika sedang membantu menukar tayar sebuah treler yang pancit di Kilometer 119.5 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) arah barat, Temerloh, pada Isnin.
Dalam nahas kira-kira jam 12 tengah hari itu, mangsa berusia 48 tahun dari Taman Bukit Mentakab, Mentakab disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Treler Berhenti Di Lorong Kecemasan
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika sebuah treler jenis CAMC berhenti di lorong kecemasan kerana tayar belakang sebelah kiri pancit.
Ketika itu, mangsa sedang memeriksa tayar di bahagian tengah sebelah kanan treler bagi tujuan pertukaran.
Lori Hino Bergesel Sebelum Langgar Mangsa
Menurut Mohd Nasyim, sebuah lori jenis Hino dipandu lelaki berusia 36 tahun dari arah sama dipercayai bergesel dengan treler terbabit sebelum melanggar mangsa yang berada di atas jalan.
“Lori jenis Hino dipandu lelaki berusia 36 tahun dari arah sama bergesel dengan treler sebelum melanggar mangsa yang berada di atas jalan dan sedang memeriksa tayar sebelum terbabas ke kiri,” katanya.
Dalam kejadian itu, dua pemandu lori berusia 35 dan 36 tahun dilaporkan tidak mengalami kecederaan.
Pemandu Ditahan, Ujian Dadah Negatif
Pemandu lori Hino terbabit turut ditahan bagi membantu siasatan, namun ujian saringan air kencing mendapati lelaki itu negatif dadah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Sumber: Sinar Harian
SHARE:
