Seorang lelaki yang juga pemotong kayu direman selama seminggu selepas disyaki mendera anak tirinya berusia lima tahun, termasuk membakar jari mangsa menggunakan pemetik api.
Pemangku Ketua Polis Daerah Dungun, Deputi Superintenden Jumaidy Bah Chong Weh berkata, perintah tahanan reman bermula hari ini terhadap suspek berusia 36 tahun bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Menurut beliau, suspek ditahan susulan laporan dibuat oleh ibu mangsa di Balai Polis Bukit Besi, semalam.
Ibu Sedar Kesan Melecur Pada Jari Anak
Berdasarkan laporan, ibu mangsa berusia 30 tahun menyedari terdapat kesan melecur pada jari anaknya yang dipercayai didera pada 7 April lalu.
Menurut mangsa, suspek menggunakan pemetik api untuk membakar jari manis sebelah kiri disebabkan mangsa dikatakan nakal.
Perkara itu juga turut diakui suspek.
Mangsa Dakwa Pernah Dipijak Dan Dicekik
Dalam masa sama, ibu mangsa memaklumkan bahawa anaknya pernah mengadu dipijak pada perut serta dicekik oleh suspek sama, namun tiada saksi yang melihat kejadian tersebut.
Susulan laporan polis dibuat, pihak polis menahan suspek pada hari sama.
Mangsa Dibawa Ke Hospital Dungun
Jumaidy berkata, pemeriksaan fizikal ke atas mangsa turut menemukan kesan luka yang telah sembuh pada jari manis sebelah kiri tangan.
Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Dungun untuk pemeriksaan lanjut dan pihak polis masih menunggu laporan awal berkaitan kecederaan itu.
Sumber: Berita Harian
SHARE:
