Lebih 50 peratus daripada kira-kira 7,000 pesawah di Kelantan dijangka tidak dapat menanam padi bagi musim pertama tahun ini bulan depan susulan masalah bekalan air yang semakin kritikal akibat kemarau berpanjangan.
Situasi itu sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pesawah apabila mereka terpaksa berdepan risiko kerugian besar sekiranya penanaman diteruskan tanpa jaminan bekalan air mencukupi.
Menurut pesawah, Rumah Pam Kemubu 4 yang mula beroperasi sejak Februari lalu masih belum mampu menampung keperluan air bagi kawasan sawah yang luas, menyebabkan isu sama terus berlarutan hingga kini.
Pesawah Tak Berani Ambil Risiko
Pengerusi Persatuan Pesawah Kelantan (PESAK), Zuha Ismail berkata, rata-rata pesawah kini tidak berani untuk mengambil risiko memulakan penanaman kerana bimbang berdepan kerugian jika bekalan air terus gagal disalurkan dengan baik.
“Isu padi kini babitkan dua faktor iaitu kos yang meningkat dan bekalan air. Jika kos meningkat tetapi bekalan air tiada masalah, pesawah tetap akan mengusahakan padi seperti biasa,” katanya ketika dihubungi.
Air Jadi Faktor Paling Penting
Menurut Zuha, air merupakan faktor paling utama dalam penanaman padi dan jika bekalan itu tidak dapat disalurkan, sudah tentu hasil padi akan merosot serta menyebabkan pesawah berdepan kerugian.
Beliau berkata, keadaan kemarau yang berlarutan kini bukan sahaja menyebabkan sawah merekah, malah tali air turut mengalami keretakan akibat kekurangan air.
“Situasi kini bukan sahaja menyebabkan sawah merekah, sebaliknya tali air juga merekah susulan kemarau berpanjangan. Rumah pam Kemubu 4 pula melakukan penggiliran dalam menyalurkan air dan tidak mampu sampai kepada semua kawasan,” katanya.
Jika Berlarutan, Lebih Ramai Tak Usahakan Sawah
Zuha menjelaskan, jika isu bekalan air itu berterusan sehingga bulan depan dan masih gagal ditangani, tidak mustahil lebih ramai pesawah akan membuat keputusan untuk tidak mengusahakan sawah mereka.
Katanya, keadaan itu boleh memberi kesan besar kepada kelangsungan pengeluaran padi di negeri ini.
Insentif Pembajakan RM200 Dihargai, Tapi Air Tetap Keutamaan
Dalam pada itu, Zuha berkata pihaknya menyambut baik langkah Kerajaan Pusat yang meluluskan pembayaran pendahuluan insentif pembajakan RM200 bagi setiap hektar sawah, sebagai usaha mengurangkan beban pesawah akibat kenaikan kos diesel.
Namun menurut beliau, usaha menangani kos semata-mata tidak mencukupi jika masalah air masih gagal diselesaikan.
“Namun, jika mahu memastikan proses penanaman padi tidak terjejas, usaha bagi menyelesaikan masalah air juga perlu dilakukan seiring.
“Sudah banyak musim pesawah berdepan kerugian disebabkan masalah air dan sekiranya penanaman diteruskan bulan depan dan masalah air tidak selesai, bermakna kita akan berdepan kerugian lagi,” katanya.
Sumber: Berita Harian
SHARE:
