Seramai 123 individu termasuk empat wanita ditahan dalam beberapa siri operasi membanteras penyeludupan dadah menerusi Op Taring Wawasan Kelantan di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand.
Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, semua suspek terbabit ditahan dalam operasi yang dilaksanakan sepanjang empat bulan pertama tahun ini.
Menurutnya, sejak Januari hingga bulan lalu, sebanyak 135 kes dadah direkodkan di kawasan sempadan, membabitkan penahanan 119 lelaki dan empat wanita.
“Sejak Januari hingga bulan lalu, 135 kes dadah direkodkan di sepanjang sempadan dengan penahanan 119 lelaki dan empat wanita.
“Bagi tempoh sama, dadah bernilai kira-kira RM6.1 juta dirampas bersama 23 kenderaan dianggarkan bernilai RM770,000 dan pelbagai barangan lain termasuk beg tangan serta telefon bimbit bernilai RM8,400,” katanya.
Ahmad Radzi berkata, pihaknya percaya suspek yang ditahan terlibat dalam aktiviti penyeludupan dadah, malah sebahagian daripada mereka dipercayai ahli sindiket yang aktif beroperasi di kawasan sempadan.
Statistik Tahun Lalu Lebih Tinggi
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan sepanjang tahun lalu, sebanyak 317 kes dadah direkodkan di sepanjang sempadan.
Kes itu melibatkan penahanan 228 lelaki dan 25 wanita, dengan nilai dadah dirampas mencecah hampir RM6 juta, selain sitaan 50 kenderaan dan barangan lain bernilai sekitar RM1.7 juta.
Antara jenis dadah utama yang sering dirampas termasuk syabu, ganja dan tunas ganja.
Sindiket Guna Laluan Kampung Sunyi
Ahmad Radzi berkata, penyeludup dadah kini mula menggunakan laluan alternatif yang lebih sunyi di kawasan kampung bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Laluan itu melibatkan jalan kecil yang jarang digunakan pengguna jalan raya dan trend berkenaan dikesan melalui beberapa kes yang direkodkan tahun ini.
“Antara jalan alternatif popular adalah Kampung Padang Licin. Pihak kami berjaya membuat 11 tangkapan daripada tiga kes yang direkodkan di sekatan pintas Serongga berdekatan kampung itu sejak awal tahun ini dengan nilai rampasan dianggarkan RM600,000.
“Kita mengesyaki laluan ini digunakan secara aktif oleh sindiket sebagai laluan alternatif dan kini berada di bawah pemantauan 24 jam,” katanya.
Sumber: Berita Harian
SHARE:
